Lindungi hasil laut negara daripada dirompak

CUBAAN warga asing memasuki perairan negara perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan kerana ia bukan sahaja memberi ancaman terhadap keselamatan tetapi dibimbangi menjejaskan sumber marin yang seterusnya memberi kesan kepada nelayan tempatan.
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria mengenai kebimbangan mengenai isu tersebut.
SINAR HARIAN: Selepas memasuki tahun ketiga sebagai ADUN, apakah pembaharuan yang berjaya dibawa ke kawasan dan perancangan yang akan dilaksanakan di Pangkor?
NORHASLINDA: Antara perkara yang berjaya saya laksanakan termasuklah menyelesaikan masalah ketiadaan air bersih di Kampung Kedah, Teluk Senangin sejak awal kampung tersebut wujud.
Di kampung tersebut ada 15 buah rumah, sebuah sekolah agama pondok yang mana mereka selama ini hanya bergantung kepada air perigi. Alhamdulillah, setelah saya perjuangkan sejak menjadi ADUN, tahun lalu mereka akhirnya menerima bekalan air bersih.
Selain itu juga, beberapa bantuan lain turut kita usahakan seperti baik pulih rumah, pemberian bantuan persekolahan, bantuan untuk anak-anak ke universiti dan banyak lagi. Cuma dari segi jumlah bantuan itu tidaklah banyak.

Program bantuan serta sumbangan ini kita buat bersama-sama beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta infak daripada pelbagai pihak. Kalau program berkongsi rezeki, yang terbaharu kita buat pemberian cermin mata percuma kepada warga emas, ibu tunggal, anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan golongan B40.
Kita juga pernah menaja anak-anak nelayan di Teluk Senangin belajar silat dan terbaharu kita taja mereka belajar memanah.
Dari segi perancangan akan datang pula, ada beberapa program yang saya sedang fikirkan terutama dari segi pelancongan kerana kebetulan saya ada latar belakang kerja dalam sektor pelancongan.
Sebagai contoh di Pekan Lumut atau Pulau Pangkor, saya mahu kawasan ini ada satu mercu tanda seperti Pulau Langkawi yang ada replika helang besar. Orang datang ke DUN Pangkor ini sebab kita ada ikan bilis mata biru yang cukup popular dan istimewa.
Begitu juga dengan fasiliti pelancongan uzur yang perlu diberikan perhatian untuk dinaik taraf dengan kemudahan lebih baik.
Baru-baru ini di Pulau Langkawi, pihak berkuasa berdepan cubaan kemasukan warga asing ke dalam negara melalui perairan negara malah Pulau Pangkor juga berdepan masalah sama. Pada pandangan YB bagaimana kemasukan warga asing secara haram melalui perairan negara ini boleh ditangani?
Aspek kawalan keselamatan perairan negeri Perak khususnya di Pulau Pangkor adalah di bawah kawalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Pasukan Polis Marin. Kedua-dua pasukan ini berpangkalan di Kampung Acheh, Sitiawan.
Saya yakin pihak berkuasa mengetatkan penguatkuasaan di kawasan perairan kita. Malah, berdasarkan laporan media juga APMM Perak dan Polis Marin banyak menempa kejayaan mengekang pencerobohan vesel-vesel asing ke perairan kita.

Saya juga difahamkan pihak Maritim mempunyai radar Stesen Pengawasan Maritim Laut Lumut (SWASLA) untuk mengesan sebarang pergerakan bot mencurigakan.
Justeru, saya percaya pihak Maritim dapat bertindak mengesan dan mengekang cubaan menceroboh perairan negeri khususnya di Pulau Pangkor.
Pada masa sama, penduduk tempatan sendiri perlu sama-sama memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.
Sejauh mana isu penguasaan warga asing dalam sektor perikanan perlu dibendung bagi memastikan nelayan tempatan tidak terancam?
Sebagai daerah perikanan sudah semestinya sebarang pencerobohan nelayan asing di perairan Pulau Pangkor adalah isu serius.
Pulau Pangkor sebagai salah satu destinasi pelancongan popular di Perak dikenali kerana produk hasil laut terutama ikan bilis.
Secara terperinci saya tidak mempunyai data tentang pencerobohan nelayan asing di Pulau Pangkor, namun penguasaan warga asing dalam sektor perikanan perlu dibendung bagi melindungi kepentingan nelayan tempatan.
Sudah semestinya kita perlu menjaga sumber perikanan negara dan memastikan kelestarian ekonomi serta ekosistem marin. Malah, Perak merupakan pengeluar marin terbesar di Malaysia.
Tindakan tegas dan kerjasama menyeluruh antara pihak berkuasa, nelayan dan masyarakat amat diperlukan untuk menangani isu ini dengan berkesan.
Kehadiran warga asing tanpa kawalan boleh membawa kepada eksploitasi sumber perikanan secara berlebihan, menyebabkan kehabisan stok ikan dan mengganggu ekosistem marin.
Hasil tangkapan ikan yang sepatutnya menyumbang kepada ekonomi tempatan mungkin dieksport atau dimanipulasi oleh warga asing sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.

Bagaimana sektor perikanan khususnya laut dapat dipertingkatkan?
Sektor perikanan khususnya hasil laut boleh ditingkatkan melalui pengembangan pasaran dan industri hiliran.
Produk hiliran seperti makanan laut kering, makanan siap dimakan atau baja organik daripada sisa ikan contohnya. Memang telah ada produk hiliran perikanan, justeru kajian ekonomi perlu dilakukan untuk meneroka peluang pemasaran baharu.
Ini termasuk mempromosikan produk perikanan tempatan ke peringkat antarabangsa melalui pensijilan halal, standard kualiti dan penjenamaan.
Langkah lain ialah menggalakkan kegiatan ekopelancongan. Perkara ini telah saya sentuh ketika sesi perbahasan Sidang DUN lalu sebagai salah satu agenda memajukan pelancongan di Lumut.
Sebagai daerah nelayan, kita sepatutnya memanfaatkan kawasan perikanan untuk ekopelancongan seperti lawatan ke ladang ternakan ikan atau pengalaman menangkap ikan.
Seterusnya ialah aktiviti akuakultur marin dengan memperluaskan aktiviti penternakan ikan laut untuk menambah sumber pendapatan nelayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!