MBPJ sita, tutup premis perniagaan warga asing

PETALING JAYA - Sebanyak empat premis perniagaan tanpa lesen dikendali warga asing dikenakan tindakan sitaan dan diarahkan tutup dalam operasi penguatkuasaan dan pemantauan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
MBPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang bermula pada jam 3.30 petang di sekitar kawasan PJS2 pada Jumaat itu turut disertai Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.
"Operasi penguatkuasaan dan pemantauan susulan telah dilaksanakan MBPJ di sekitar kawasan PJS 2 semalam dalam usaha membanteras premis-premis perniagaan tanpa lesen khususnya yang melibatkan warga asing.
"Operasi juga bagi menilai tahap kepatuhan pemilik perniagaan di kawasan tersebut," menurut kenyataan itu di laman Facebook pihak berkuasa tempatan itu.

Kenyataan itu menambah, tindakan penguatkuasaan itu akan terus dilaksanakan dan diperluaskan ke kawasan-kawasan ‘hotspot’ yang melibatkan warga asing.
"Ini termasuk berdasarkan aduan yang diterima oleh Majlis (MBPJ) bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!