Penggunaan asbestos makin kurang

Sektor pembinaan negara kini beralih guna bahan alternatif seperti aluminium. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohammad Fauzee
Sektor pembinaan negara kini beralih guna bahan alternatif seperti aluminium. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohammad Fauzee
A
A
A

SHAH ALAM - Industri pembinaan negara sudah mengurangkan penggunaan barang seperti bumbung, siling, dinding pembahagi, lantai seramik dan paip air luaran yang mengandungi asbestos.

Naib Presiden 1 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohammad Fauzee Mohamad berkata, bahan tersebut kebanyakannya sudah ditukar kepada logam, simen, aluminium dan lain-lain.

“Perbezaan bahan tersebut melibatkan kos yang agak tinggi tetapi kaedah penggunaan bahan gantian ini lebih mudah dan tahan lasak. Daripada segi teknikal penggunaan bahan seperti asbestos ini dilihat lebih mudah rosak atau pecah.

“Apabila berlaku pemberhentian penggunaan asbestos bermakna tiada kenaikan harga bahan tersebut dan berkemungkinan bahan alternatif yang lain harganya akan meningkat secara mendadak sehingga 20 ke 30 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohammad Fauzee mencadangkan, satu lapisan perlindungan perlu dibina bagi mengurangkan risiko bahaya yang mampu menjejaskan kesihatan sekiranya bahan asbestos masih mahu digunakan.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan sedang memperhalusi cadangan menghentikan sepenuhnya penggunaan bahan berasaskan asbestos yang masih digunakan secara meluas di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini berikutan risiko dan kesan negatifnya terhadap kesihatan.

Menurutnya, ketika ini Jabatan Alam Sekitar sedang menerbitkan kajian berhubung penggunaan asbestos dan kesannya kepada alam sekitar dan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Julai tahun lalu menyerahkan memorandum kepada kerajaan mendesak pengharaman sepenuhnya semua bentuk asbestos, mengulangi gesaan sama yang mereka suarakan melalui memorandum yang dikemukakan ketika Mei 2001.

Asbestos merupakan bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan kanser paru-paru dan penggunaannya diharamkan di 69 negara termasuk Finland, Itali, Jerman, Australia, Jepun dan Thailand setakat Oktober 2022 oleh Sekretariat Pengharaman Asbestos Antarabangsa (IBAS).

Pada tahun 2006, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menyarankan semua negara di dunia mengharamkan penggunaan asbestos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!