Titah Adendum: Elak timbul lebih banyak persoalan

Laporan Sinar Harian mengenai isu Titah Adendum.
Laporan Sinar Harian mengenai isu Titah Adendum.
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan semakan kehakiman yang bersandarkan Titah Adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, wajar ditarik balik demi memelihara kemuliaan institusi beraja di Malaysia dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sekiranya permohonan semakan kehakiman diteruskan sekalipun, ia akan menimbulkan banyak lagi persoalan.

Menurutnya, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2023 telah merakamkan prerogatif Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa di bawah Perkara 42 dengan sempurna mengikut syarat yang diperuntukkan.

“Maka, keputusan itu adalah non-justiciable (tidak boleh dibicarakan lagi melalui sistem kehakiman) di sisi undang-undang, manakala Titah Adendum yang menurut BHEU (Bahagian Hal Undang-Undang) tidak pernah diterima daripada Istana Negara akan mengelirukan rakyat kerana Majlis Kesultanan Pahang mengesahkannya pada 4 Januari 2025.

“Dalam keadaan ini, kelihatan konflik timbul daripada kedua-dua dokumen yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong, satu yang bersumberkan rekod rasmi kerajaan Persekutuan dan satu lagi tiada dalam rekod rasmi kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, mahkamah pasti akan menimbangkan persoalan berlandaskan keseluruhan peruntukan Perkara 42 dan juga dokumen perundangan termasuklah Laporan Kertas Putih Perlembagaan 1957 yang diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu seperti mana dibentangkan di Parlimen Britain, Majlis Negeri dan Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu kerana peruntukan Perkara 42 berlandaskan Kertas Putih tersebut.

Jelasnya, laporan Kertas Putih yang menyentuh peruntukan pengampunan menyatakan bahawa cadangan Suruhanjaya Perlembagaan untuk memberikan kuasa eksklusif pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak diterima, sebaliknya, kuasa tersebut akan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat seperti kaedah yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Melihat kepada keadaan tersebut dan demi memelihara kemuliaan institusi beraja di negara kita agar tidak dijadikan bahan pertikaian, maka ada baiknya permohonan semakan kehakiman yang bersandarkan Titah Adendum itu ditarik balik.“Secara alternatif, seperti yang disarankan oleh Jabatan Peguam Negara dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, permohonan pengampunan baharu boleh dibuat untuk diberi pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menyorok Titah Adendum.

Katanya, Titah Adendum disampaikan kepada Peguam Negara dan apabila Yang di-Pertuan Agong berganti, ia diserahkan kepada Istana Negara.

Ditanya sama ada kenyataan Anwar boleh memberi implikasi terhadap prosiding Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Fauzi berkata, mahkamah akan meneliti kenyataan tersebut termasuk kewujudan dan kandungan adendum berkenaan secara keseluruhannya.

“Mahkamah akan menilai bukan sahaja fakta kewujudan adendum itu, tetapi juga kedudukannya dari aspek undang-undang.

“(Persoalannya) adakah Titah Adendum itu boleh mengatasi keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024 yang dibuat mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan?” soalnya.

Beliau menambah, kewujudan surat atau Titah Adendum yang dirujuk oleh Anwar tidak akan diterima secara automatik oleh mahkamah untuk membenarkan tahanan rumah.

“Dalam kes ini mahkamah dipandu oleh prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dilaksanakan mengikut prinsip keluhuran perlembagaan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!