Saksi menteri UMNO tak beri kelebihan pada Najib

SHAH ALAM - Kehadiran semua menteri UMNO sebagai saksi di mahkamah tidak akan memberi kelebihan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari segi pengesahan wujudnya Titah Adendum.
Peguam, Mohd Ridwan Talib berkata, keterangan yang diberikan oleh individu dianggap sebagai hearsay atau khabar angin dan akan ditolak oleh mahkamah.
“Mengikut prinsip undang-undang keterangan (Law of Evidence), hanya individu yang menitahkan isi kandungan Titah Adendum iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-16 sahaja layak memberi keterangan di mahkamah mengenai keabsahannya.
“Hal tersebut hanya akan berlaku sekiranya kewujudan titah berkenaan dipertikaikan di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, keterangan daripada mana-mana menteri UMNO dalam isu itu tidak relevan atau mempengaruhi keputusan hakim.
“Badan kehakiman ialah suatu institusi bebas daripada pengaruh dan kekuasaan mana-mana pihak di negara ini termasuk menteri. Hakim akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang dihujahkan semasa perbicaraan, bukannya berasaskan status saksi.
“Ini bertujuan memastikan keputusan hakim dalam permohonan Najib telus, adil dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana individu,” jelasnya.
Menurut Mohd Ridwan, rakyat perlu yakin bahawa barisan hakim mengadili permohonan Najib merupakan individu-individu yang arif dan pakar dalam mengendalikan kes tersebut.
“Kerangka ini menjamin bahawa Najib sedang diadili oleh suatu proses keadilan yang saksama.
“Dalam isu pengampunan penuh di bawah Artikel 42, klausa (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, rujukan perlu dibuat kepada klausa (4) yang bermaksud meskipun kuasa pengampunan merupakan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda mesti membuat keputusan selepas menerima nasihat daripada Lembaga Penasihat.
“Perkara tersebut bertujuan mengekang campur tangan pihak berkepentingan dalam urusan pengampunan kesalahan jenayah. Ia juga merupakan prinsip asas dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan oleh Malaysia,” katanya.
Pada Jumaat, menteri-menteri mewakili UMNO dalam kerajaan dilapor bersedia menjadi saksi kepada Mahkamah Tinggi sekiranya mereka perlu memberi keterangan berkaitan titah berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Ridwan berpandangan, jika Najib dibenarkan untuk menjalani tahanan di rumah, ia akan memberi impak kepada strategi yang telah disusun untuk bekas Perdana Menteri tersebut kembali ke kancah politik negara.
“Bagaimanapun, tiga kes Najib yang masih tertunggak di Mahkamah Tinggi boleh menjadi batu halangan untuk beliau kembali ke arena politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!