Tekun catat kutipan bayaran balik RM1.15 bilion, tertinggi dalam sejarah

KUALA KANGSAR - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional berjaya mencatat kutipan bayaran tertinggi dalam sejarah penubuhannya apabila memperoleh RM1.15 bilion pada tahun 2024.
Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ia juga merupakan tahun kedua kutipan melebihi RM1 bilion apabila tahun 2023 agensi itu berjaya mengutip bayaran balik lebih RM1.05 bilion.
Jelas beliau, kejayaan tersebut hasil reformasi yang dibuat di dalam Tekun Nasional yang berpaksikan dasar kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Seperti mana yang telah pun dikhabarkan kepada saya sebelum saya masuk (menjadi pengerusi), kutipan kita tidak melepasi RM700 juta. Tetapi pada tahun 2023, kita telah mengutip melebihi RM1.05 bilion.
"Pada tahun ini, kutipan kita melebihi daripada RM1.05 bilion kepada RM1.15 bilion dan ini adalah kutipan yang tertinggi dalam sejarah tekun sejak ditubuhkan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Taklimat Pembiayaan Tekun Nasional Parlimen Sungai Siput di Kampung Warisan Budaya di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Abdullah Sani berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerja keras warga kerja di setiap negeri dan peranan yang dimainkan oleh ibu pejabat untuk berlipat-gandakan kutipan seterusnya memberi kesan yang positif sangat kepada Tekun.
Menurutnya, reformasi menyeluruh yang dilaksanakan di dalam Tekun Nasional itu membolehkan kejayaan tersebut dicapai sehingga berjaya mencipta sejarah berkenaan.
Jelasnya, pendekatan Madani yang diperkenalkan kerajaan membolehkan agensi bergerak ke hadapan dengan menyantuni semua golongan memerlukan bantuan.
Sementara itu, Kesavan turut menghargai keprihatinan serta kepedulian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang setuju mewujudkan semula pejabat operasi Tekun Nasional setelah ditutup pada tahun 2018.
Katanya, dengan pengoperasian semula Pejabat Tekun Nasional Sungai Siput, seramai 443 peminjam mahu pun peniaga kecil yang ingin mendapatkan khidmat agensi berkenaan tidak lagi perlu ke Tambun atau Kuala Kangsar.
"Saya harap kemudahan Pejabat Tekun Nasional Sungai Siput yang akan mula beroperasi mulai esok akan membantu peniaga. Manfaatkanlah ruang dan peluang yang ada di depan mata bagi mereka yang benar-benar memerlukan.
"Sudah pasti dengan adanya pejabat ini membuka ruang luas untuk peniaga membuat pinjaman. Saya juga merayu kepada peminjam terdahulu yang difahamkan sebahagiannya tidak membayar mengikut jadual dipersetujui supaya melunaskannya," jelas Kesavan.
Menurutnya, bayaran balik pinjaman berkenaan amat penting kerana ia membantu kerajaan untuk menambah peruntukan bagi tahun berikutnya untuk dimanfaatkan lebih ramai peniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!