Pengendali perigi terapi ion sedia beri kerjasama

REMBAU - Pihak yang mengendalikan telaga ion di Ulu Sepri dekat sini sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak selepas tempat tersebut didakwa boleh memberikan manfaat kepada kesihatan.
Menurut Perunding Dusun Pinang, Wan Sharizah Abdul Majid, pihaknya juga sudah mendapat maklum balas daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendapat sokongan daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).
"Penggunaan air bagi proses terapi ion ini menggunakan air terawat dari Sains berbanding sebelum ini guna air sungai. Malah selepas mendapat maklum balas dan nasihat daripada KKM serta sokongan Sains kami turut menambah paip air.
"Dalam masa sama kami juga laksanakan kerja naik taraf berkaitan selain mengambil kira pandangan pihak berkenaan termasuk menyediakan kawasan pelupusan sampah dan tandas awam yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Perigi Ion, Dusun Pinang oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad baru-baru ini.
Sebelum ini, telaga yang terdapat di tapak perkhemahan tersebut mencetuskan fenomena dalam kalangan orang ramai apabila ia didakwa mampu memberi manfaat kesihatan.
Ekoran itu, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) mengambil perhatian dan menyiasat mengenai dakwaan tersebut.

Malah Pejabat Tanah dan Daerah Rembau turut menasihati pengusaha perigi terapi ion agar menghentikan sementara operasi sehingga siasatan KKM selesai dijalankan.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, orang ramai mengambil peluang mengunjungi lokasi terbabit sempena hari perasmiannya selepas ditutup sejak awal November tahun lalu untuk tujuan naik taraf.
Pengunjung, Hawa Abdul Aziz, 58 berkata, dia datang ke tempat tersebut sebagai ikhtiar bagi merawat suaminya, Adam Mohd Haris, 60 yang mengalami kesakitan kesan kemalangan tiga bulan lalu.
"Kami ikhtiar dan usaha sahaja, berharap suami makin sihat, insya-ALLAH. Kami dapat tahu mengenai terapi ion ini sudah lama cuma belum berkesempatan datang," katanya dari Sepang, Selangor.
Seorang lagi pengunjung, Rozita Abu Bakar, 55, dari Rembau, turut membawa suaminya yang mempunyai penyakit gaut untuk mendapatkan terapi di situ.
"Suami saya baru sekali menjalani terapi, hendak pergi balik terapi ion ini tutup pula, sebab suami maklum badannya rasa ringan sedikit selepas terapi," katanya ketika ditemui pemberita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!