Satu kes penyakit demam babi Afrika dikesan di Keningau

KOTA KINABALU - Satu kes penyakit demam babi Afrika (ASF) dikesan semula melibatkan seorang penternak khinzir di sebuah kampung di Keningau.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kes itu dikesan pada Selasa lalu di daerah tersebut.
"Sebanyak 12 ekor khinzir terkesan daripada 20 ternakannya dan berdasarkan siasatan lapangan, haiwan tersebut menunjukkan tanda-tanda klinikal seperti kurang selera makan, lemah, hidung berair dan akhirnya mati.
"Sampel telah diambil, diuji dan keputusan makmal adalah positif terhadap penyakit ASF," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, susulan penemuan kes tersebut, tindakan kawalan pantas telah diambil oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Keningau selaras dengan arahan di bawah Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015.
"Penemuan ini menjadikan daerah Keningau bertukar semula status daripada zon hijau (zon pemulihan) kepada zon merah (zon terjangkit).
"Pelupusan dan kawalan pergerakan khinzir tersebut di ladang berkenaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Keningau.
"Selain itu, sekatan kawalan pergerakan khinzir dan produknya dari daerah Keningau turut dilakukan, begitu juga pemantauan secara aktif dan pasif turut dipertingkat di seluruh Sabah bagi memastikan penyakit ini tidak menular," katanya.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menasihatkan kesemua penternak mempertingkat biosekuriti ladang dan kandang menternak.
"Penternak khinzir dilarang memberi sisa buangan dapur yang tidak dimasak semula kepada ternakan babi dan melawat kandang atau ladang yang berpenyakit.
"Selain itu, penternak dinasihatkan tidak membeli khinzir hidup ataupun daging dari sumber yang tidak diketahui tahap kesihatan ternakannya.
Untuk rekod, ASF merupakan penyakit yang disebabkan oleh kuman Asfvirus dan ia menjangkiti khinzir melalui sentuhan secara langsung dan juga secara tidak langsung melalui sentuhan dengan perkakasan atau pengendali yang tercemar dengan kuman tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

