Arak, produk kosmetik RM165,500 gagal diseludup

RANTAU PANJANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas enam botol minuman keras, produk kosmetik, perubatan serta makanan bernilai RM165,500 yang cuba diseludup masuk ke Malaysia secara haram dari Thailand pada Sabtu.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada jam 5.15 petang.
“Anggota memeriksa seorang lelaki warga tempatan yang menaiki kereta jenis Honda Civic berwarna hitam.
“Ketika melakukan pemeriksaan rutin di laluan pemeriksaan penumpang itu, pihak berkuasa menemukan arak, produk kosmetik, perubatan dan
makanan dianggarkan bernilai RM165,500,” kata kenyataan terbabit.
Menurut kenyataan itu lagi, barangan-barangan termaktub dalam kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
“Semua barang rampasan termasuk kereta diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!