Pes tomyam, beras Thailand dirampas di ICQS Rantau Panjang

RANTAU PANJANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas barangan makanan runcit dari Thailand antaranya pes tomyam dan 144 kilogram (kg) beras keseluruhan berjumlah RM51,926 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada Isnin.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, rampasan dilakukan ketika pemeriksaan rutin yang dijalankan di Laluan Pemeriksaan Penumpang kompleks berkenaan pada jam 12 tengah hari.
“Pihak berkuasa memeriksa seorang pemandu wanita warga Thailand dan kenderaan jenis pacuan empat roda berwarna hitam bernombor pendaftaran negara jiran itu.
“Pemeriksaan menemukan tiga kotak bawang jeruk, dua kotak sate ikan, empat teh hijau, satu kotak pes tomyam dan enam pek beras seberat 24 kilogram setiap satu dengan anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM51,926,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, barangan dibawa oleh wanita terbabit melanggar kesalahan mengikut Akta Makanan 1983.
“Barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk pelupusan manakala beras diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Pasukan AKPS akan terus melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pintu masuk negara terjaga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!