Juruteknik rugi hampir RM450,000 terperdaya tawaran kerja sambilan

IPOH - Seorang juruteknik mengalami kerugian sebanyak RM444,967 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan sambilan secara dalam talian yang tidak wujud, November lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lelaki berusia 42 tahun itu tertarik dengan iklan pekerjaan ketika melayari laman Facebook.
"Mangsa kemudian berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan seterusnya diberikan tugasan kepada mangsa untuk membuat bayaran kepada barangan yang diberikan kepadanya terlebih dahulu.
"Nilai barangan tersebut bermula dengan jumlah kecil hingga puluhan ribu ringgit dan mangsa dijanjikan akan menerima semula wang beserta komisen antara 4 hingga 10 peratus daripada nilai bayaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut Zulkafli, mangsa telah membuat beberapa pindahan wang ke 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM444,967.
"Mangsa menyedari telah ditipu apabila sehingga kini dia belum menerima komisen seperti yang dijanjikan sejak dua bulan lalu.
"Satu laporan polis telah diterima Jumaat lalu dan siasatan sedang dijalankan," katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dengan taktik sindiket penipuan yang semakin kompleks.
"Analisis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, aplikasi yang sering digunakan sindiket adalah Facebook dan WhatsApp.
"Polis meminta masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang memerlukan bayaran pendahuluan selain melakukan semakan latar belakang syarikat terlibat sebelum mengambil sebarang keputusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
