Kecewa lihat makanan infak bertaburan atas jalan

Makanan yang diagihkan secara percuma terbiar dan bertaburan di atas jalan.
Makanan yang diagihkan secara percuma terbiar dan bertaburan di atas jalan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tular video seorang jemaah berkongsi situasi menyedihkan apabila makanan yang didakwa diagihkan secara percuma menerusi Program Infak Sabil di Makkah terbiar dan bertaburan di atas jalan sekitar kawasan Masjidil Haram.

Pengarah Urusan TMK Travel dan Tours Sdn Bhd, Nik Ikrami Omar berkata, beliau terkejut apabila mendapati kebanyakan nasi yang disumbangkan kepada jemaah umrah tidak dihabiskan dan dibuang begitu sahaja.

Nik Ikrami Omar
Nik Ikrami Omar

“Tujuan kami memberikan infak Sabil adalah untuk membantu golongan memerlukan seperti pekerja masjid, orang miskin di Makkah serta jemaah umrah yang datang dari pelbagai negara.

“Namun, kami amat sedih apabila niat baik untuk sedekahkan makanan berakhir seperti ini. Terdapat segelintir individu yang mengambil lebih daripada dua bungkus dan menarik makanan tersebut sehingga menyebabkan nasi tumpah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pekerja membersihkan bungkusan dan sisa nasi yang bertaburan di jalan sekitar kawasan Masjidil Haram.
Pekerja membersihkan bungkusan dan sisa nasi yang bertaburan di jalan sekitar kawasan Masjidil Haram.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 55 saat tular di media sosial menunjukkan pekerja membersihkan bungkusan dan sisa nasi yang bertaburan di jalan sekitar kawasan Masjidil Haram.

Terdapat banyak bungkusan nasi yang tidak dihabiskan selain sampah-sampah bungkusan yang ditinggalkan begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tentang punca utama berlakunya pembaziran tersebut, Nik Ikrami berkata, infak Sabil kini dianggap sebagai satu trend popular yang mana kebanyakan orang mahu bersedekah tanpa memahami prosedur sebenar.

“Isu pembaziran ini timbul apabila terlalu banyak individu atau organisasi memberi sumbangan tanpa meneliti lokasi, cara pengagihan dan pengurusan yang betul.

“Apabila kita memberi makanan secara berlebihan, ia akan menyebabkan penerima mengambil lebih daripada yang diperlukan. Akibatnya, banyak nasi terbuang dan akan berlaku pembaziran,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua pihak mengambil pengajaran daripada insiden berkenaan dalam memastikan pengagihan dibuat dengan cara yang betul.

"Jangan putus semangat untuk terus memberi sedekah kerana ia merupakan amalan yang mulia.

“Tetapi pemberian sumbangan melalui infak Sabil harus disertai dengan kesedaran dan pengurusan teliti agar amalan ini memberi manfaat kepada penerima," katanya.

Sebagai langkah penyelesaian, Nik Ikrami berkata, pihaknya memberi sumbangan secara langsung tanpa melalui orang tengah bagi memastikan sumbangan itu sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kami mengambil inisiatif untuk mengubah haluan dan memberikan makanan di kawasan-kawasan lain. Saya juga menyarankan orang ramai mengagih sendiri sumbangan agar kita dapat menghayati keinsafan.

“Selain makanan, orang ramai juga boleh mempertimbangkan bentuk sumbangan yang lebih berkesan seperti bantuan kewangan atau keperluan asas lain mengikut kesesuaian keadaan penerima,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!