Mampu hasilkan 4 tan metrik bawang

KUALA SELANGOR - Projek tanaman Bawang Rose Ehsan yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mampu menghasilkan pengeluaran empat tan metrik bawang bagi setiap 0.4 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Khairil Mohamad Razi berkata, hasil pengeluaran itu menunjukkan potensi tinggi dalam tanaman berkenaan.
Beliau berkata, projek itu merupakan salah satu inisiatif PKPS yang diuruskan anak syarikatnya, Selangor Solution Sdn Bhd di tanah seluas 10 hektar.
"Bawang adalah komoditi penting dalam industri makanan dan merupakan bahan asas dalam setiap hidangan rakyat di negara ini," katanya ketika berucap semasa Lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu ke Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Bestari Jaya di sini pada Sabtu.

Projek tanaman Bawang Rose Ehsan melibatkan penggunaan benih varieti Bangalore rose onion dari India yang terkenal dengan kualiti tinggi dan daya tahan terhadap penyakit.
Muhamad Khairil memberitahu, pada masa ini, negara masih bergantung kepada import bawang dari negara lain seperti India, Pakistan dan China bagi memenuhi permintaan domestik.
Sehubungan itu, katanya, usaha PKPS itu amat penting bagi mengukuhkan keterjaminan makanan negara.

"Pengeluaran Bawang Rose Ehsan ini diharap dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam negara sekali gus mengurangkan tekanan kepada imbangan dagangan makanan negara," ujar beliau.
Beliau memberitahu, harga semasa Bawang Rose Ehsan di Selangor Fruit Valley sekitar RM6 sekilogram, berbanding harga bawang import yang mencecah RM6.50 hingga RM11 sekilogram di beberapa negeri seperti Terengganu, Johor dan Pulau Pinang.
"Melalui projek ini, Selangor dapat menawarkan harga lebih kompetitif seterusnya membantu pengguna tempatan mengurangkan kos sara hidup," jelas beliau.
Kata beliau, projek itu bukan sahaja meningkatkan pengeluaran bawang tempatan tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu khususnya dalam bidang agroteknologi.

"Projek ini merupakan simbol transformasi pertanian Selangor ke arah lebih pintar dan mampan.
"Selangor terus menjadi pelopor dalam memastikan kelestarian sekuriti makanan negara," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia mengimport sepenuhnya bawang dan menjadi antara negara pengimport utama di dunia.
Beliau memberitahu, negara mengimport sebanyak 484, 867 tan metrik pada nilai RM902.5 juta pada tahun 2021 bagi memenuhi permintaan pengguna.
"India menjadi pembekal bawang terbesar di negara ini diikuti China dan Pakistan," kata beliau.
Beliau memberitahu, usaha yang dilaksanakan PKPS itu wajar dipuji kerana menjayakan program tanaman bawang.
"Projek tanaman bawang ini turut mengaplikasi gabungan teknologi moden Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian negara," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
