Khazanah tangani jurang bakat, perkukuh masa depan Malaysia

Dalam era di mana teknologi dan inovasi menjadi pemacu utama ekonomi global, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tampil sebagai pencetus perubahan di Malaysia dengan komitmen kukuh terhadap pembangunan bakat dan sokongan terhadap industri kritikal.
Melalui pelaburan strategik yang merangkumi pembangunan modal teroka dan industri semikonduktor, Khazanah bukan sekadar fokus kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga kepada kelestarian dan ketersediaan tenaga kerja tempatan untuk menghadapi cabaran masa depan.
Memperkasakan para belia melalui program-program kemahiran dan sokongan biasiswa
Khazanah terus memainkan peranan utama dalam menangani jurang bakat, merangsang pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi dan peningkatan sektor pendidikan di negara ini seiring dengan visi kerajaan. Tumpuan diberikan kepada mewujudkan saluran bakat yang mampan untuk menyokong pelbagai perniagaan dan industri di seluruh negara.
Satu penyelidikan oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendapati Malaysia menghadapi kekurangan bakat berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi. Selain itu, banyak graduan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berkecimpung dalam bidang yang tidak berkaitan.
Ini dapat diatasi melalui pelaksanaaan dua inisiatif utama oleh Khazanah, iaitu 42 Malaysia (42MY) dan Khazanah Youth Development Programme (K-Youth).
Program-program ini bertujuan melengkapkan golongan belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran persekitaran kerja moden dan memastikan mereka memenuhi permintaan pasaran pekerjaan masa depan.
K-Youth, yang dilancarkan pada tahun 2023 sebagai kesinambungan inisiatif peningkatan dan pemberdayaan yang dikelolakan Khazanah sebelum ini, bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang penting bagi pasaran pekerjaan hari ini dan melahirkan para graduan yang profesional dan sedia untuk industri.
Menurut Khazanah, ia terbukti berjaya apabila 83 peratus peserta K-Youth telah mendapat tempat dalam industri utama di Malaysia selepas menamatkan latihan.
Program ini secara strategik menyasarkan kepada penutupan jurang dengan memanfaatkan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” jelas Khazanah menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Program 42MY pula dilancarkan pada tahun 2023 dengan hasrat untuk melatih 10,000 profesional teknologi berkemahiran bagi menangani jurang kemahiran teknologi di Malaysia.
Model pembelajaran rakan sebaya yang inovatif menggalakkan kerjasama dan penyelesaian masalah, dengan kurikulum yang menekankan pemikiran kritis, kebolehsuaian, dan pengalaman praktikal.
Kampus 42MY kini beroperasi di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Iskandar Puteri, dan Pulau Pinang, dengan perancangan pembukaan kampus selanjutnya di Kuching, Miri, dan Kota Kinabalu.
Tambahan lagi, Yayasan Khazanah yang ditubuhkan sejak 2006 telah menyokong 1495 pelajar setakat ini melalui Program Biasiswa Global, Program Biasiswa Lestari, Program Biasiswa Watan dan Program Biasiswa Bestari dalam pembangunan bakat dan mobiliti sosial yang lebih baik bagi pelajar Malaysia untuk belajar di universiti tempatan dan universiti terkemuka di Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Australia dan Kanada.
Menyokong pertumbuhan modal teroka dan ekosistem semikonduktor negara
Khazanah juga memperuntukkan RM1 bilion menerusi Dana Impak untuk menyokong pertumbuhan modal teroka di Malaysia dan mengukuhkan industri semikonduktor.
Dalam usaha ini, Khazanah melabur dalam Cambrian Fund, satu kerjasama dengan pengasas bersama Vitrox Corporation Berhad dan Southern Capital Group, untuk menyokong usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terlibat dalam teknologi revolusi industri 4.0.
Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan penggerak utama ekonomi Malaysia, menyumbang 40 peratus kepada eksport negara pada tahun 2023.
“Malaysia kini adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, menguasai 13 peratus daripada pasaran global untuk pembungkusan, pemasangan dan ujian. Pelaburan Khazanah dalam Cambrian Fund selaras dengan usaha kerajaan dalam memupuk pertumbuhan lebih besar, mencetus inovasi, menggiatkan pembangunan bakat tempatan dan integrasi ke dalam rantaian bekalan global, bagi memperkukuhkan hubungan pasaran antarabangsa serta mencipta peluang untuk perkembangan syarikat-syarikat Malaysia, jelasnya.
Khazanah turut melabur dalam Syntiant Corp. (Syntiant), sebuah syarikat global yang diiktiraf sebagai peneraju dalam menyediakan penyelesaian perkakasan dan perisian inovatif untuk penerapan edge AI.
Komitmen Syntiant untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI bertaraf dunia di Malaysia adalah manfaat strategik utama pelaburan Khazanah. Pusat ini akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi, memberikan sumbangan kepada hasrat Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor serta mengambil bahagian dalam industri AI global yang sedang berkembang.
“Ini menggariskan komitmen kami untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang maju di Malaysia. Dengan menyokong pengembangan Syntiant di Malaysia, kami meningkatkan keupayaan teknologi negara sambil mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia. Usaha ini selaras dengan keutamaan strategik kami untuk memacu kemajuan ekonomi dan teknologi dalam negara,” tambah Amirul Feisal.
Jelawang Capital membangun ekosistem modal teroka negara
Dalam pada itu beliau berkata, sebuah national fund-of-funds (NFOF) iaitu Jelawang Capital ditubuhkan berikutan penggabungan Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital pada bulan Julai 2024.
Tambahnya, Jelawang Capital melambangkan usaha Khazanah dalam membangunkan ekosistem modal teroka (VC) Malaysia.
“Melalui inisiatif pemangkin ini, Jelawang Capital akan meneruskan usaha membangunkan pengurus-pengurus dana Malaysia di samping menarik penglibatan pengurus dana serantau yang mempunyai kepakaran dan modal.
“Industri modal teroka ialah sumber yang penting untuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan negara,” katanya.
Menurutnya lagi, selain daripada sektor E&E dan ekosistem modal teroka, Khazanah komited untuk memberi impak kepada syarikat peringkat pertengahan (MTC) bagi meningkatkan penciptaan nilai, produktiviti nasional dan memperbaiki daya saing global.
MTC menyumbang kurang daripada dua peratus daripada jumlah firma di Malaysia, namun mampu menyumbang 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menggajikan 16 peratus daripada tenaga kerja.
“Objektif Dana Impak adalah untuk menyokong syarikat Malaysia yang secara konsisten berinovasi dan mencipta untuk memacu pertumbuhan berterusan dan ketahanan ekonomi.
“Khazanah sedang melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti untuk mempercepatkan pertumbuhan MTC di Malaysia termasuk program-program yang dijalankan bersama agensi lain yang sehaluan seperti Suruhanjaya Sekuriti.
“Salah satu program yang dilancarkan adalah MTC Growth Innovation Programme (MGIP), yang ditaja sepenuhnya oleh Dana Impak,” katanya.
Sebagai peneraju perubahan dalam landskap ekonomi Malaysia, Khazanah terus menabur benih kemajuan dengan pelaburan strategik dan inisiatif pembangunan bakat yang menyeluruh, melalui peranannya sebagai penggerak transformasi yang memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi dunia yang kian berubah.
REAKSI

"Perkara yang membezakan K-Youth adalah pengalaman praktikal kerana progam lainlebih kepada teori. Ia memberikan peluang untuk bekerja dengan pelanggan sebenar dan mempromosikan perniagaan mereka menggunakan Kemahiran yang saya pelajari," - Nurul Amanina Naushad, peserta K-Youth

"Persekitaran program ini banyak mendorong. Ia bukan sahaja membantu saya membina Kemahiran teknikal, tetapi juga memupuk keyakinan saya melalui latihan praktikal dan pengalaman dunia nyata (real life experience),"- Deepanraj Ravi Chandran (K-Youth)

“Sebelum menyertai program ini, saya mempunyai jangkaan rendah dan hanya berharap untuk mendapatkan pekerjaan. Namun selepas itu, bukan sahaja saya berjaya dapatkan apa yang saya inginkan sejak awal penyertaan, tetapi saya juga amat tertarik dengan pengekodan dan kaedah pembelajarannya," - Ng Jun Han, peserta 42KL

"42MY percuma sepenuhnya dan memudahkan saya untuk terlibat dalam pendidikan teknologi serta fokus sepenuhnya pada pembelajaran," - Adya Zahila Hasman Aidi Hasman, peserta 42KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
