Bilik gerakan bencana di Johor diaktifkan - Ahmad Maslan

PONTIAN - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengaktifkan bilik gerakan bencana berikutan banjir yang melanda Johor ketika ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tumpuan diberikan kepada keadaan jalan, jambatan, cerun dan juga perparitan tepi jalan yang mungkin terkesan berikutan banjir.
Menurutnya, arahan juga telah dikeluarkan kepada jurutera daerah di 10 daerah agar bersiap siaga membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing.
"Kami telah membuka bilik gerakan bencana pagi ini berikutan banjir yang berlaku di Johor.
"Bilik gerakan ini akan beroperasi 24 jam susulan amaran banjir dan beberapa daerah sudah dinaiki air," katanya selepas menghadiri majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang pada Sabtu.
Mangsa banjir negeri ini terus melonjak kepada 1,156 penduduk daripada 366 keluarga yang ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas setakat jam 12 tengah hari Sabtu.
Ia berbanding seramai kepada 897 penduduk daripada 303 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS jam 8 pagi Sabtu.
Ahli Parlimen Pontian itu menambah, orang awam juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR untuk melapor dan mendapatkan sebarang maklumat terkini berkenaan bencana.
Beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melalui jalan yang telah dinaiki air banjir kerana bimbang kemungkinan berlakunya arus deras dan lubang di jalan-jalan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

