Keadaan banjir di Kota Tinggi semakin buruk, 13 PPS dibuka

Keadaan di sekitar Taman Aman Kota Tinggi.
Keadaan di sekitar Taman Aman Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Keadaan banjir di daerah ini semakin buruk apabila bilangan mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat pada pagi Sabtu.

Setakat jam 8 pagi Sabtu, seramai 897 penduduk daripada 303 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi berbanding 335 mangsa daripada 124 keluarga dipindahkan ke lapan PPS pada Jumaat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa tertinggi di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) iaitu seramai 175 penduduk daripada 50 keluarga ditempatkan di situ.

Jalan Mawai yang turut dinaiki air.
Jalan Mawai yang turut dinaiki air.

"Seterusnya diikuti seramai 169 penduduk daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, membabitkan penduduk terjejas dari Taman Aman dan Taman Mawai.

"Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa waspada dan patuh pada arahan pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Dijangkakan mangsa banjir Johor akan bertambah susulan hujan lebat masih berterusan dan tidak berhenti sejak 24 jam lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan lima sungai di negeri ini merekodkan paras bahaya, lapan sungai catat paras amaran dengan enam sungai di tahap waspada.

Katanya, sungai yang merekodkan paras bahaya termasuk Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong, Kulai Sungai Ulu Pulai, Pontian; Sungai Skudai dan Sungai Tebrau di Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Sungai yang merekodkan paras amaran pula membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Sayong dan Sungai Pontian Besar Kulai; Sungai Tiram, Johor Bahru; Sungai Ulu Sedili Besar, Kota Tinggi selain Sungai Tenglu Besar Kecil serta Sungai Jemaluang, Mersing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!