Banglo dipenuhi lukisan mural jadi tarikan di Kluang

Banglo lama diubah menjadi Rumah Seni Kluang di Kampung Melayu Kluang menjadi lokasi tumpuan pelancong melihat lukisan mural 3D dan 4D.
Banglo lama diubah menjadi Rumah Seni Kluang di Kampung Melayu Kluang menjadi lokasi tumpuan pelancong melihat lukisan mural 3D dan 4D.
A
A
A

KLUANG - Lukisan mural tiga dan empat dimensi (3D dan 4D) di sebuah banglo di Kampung Melayu di sini, memberi nilai tambah kepada daerah itu yang sememangnya terkenal sebagai ‘bandar kopi’.

Banglo dikenali sebagai Rumah Seni Kluang itu memiliki kira-kira 80 mural mengisahkan pelbagai cerita, antaranya lukisan Kampung Palembang yang menjadi antara perkampungan terawal dibuka di daerah itu dan landasan kereta api Kluang.

Berada di sini pengunjung pasti akan terpukau dengan pelbagai mural yang dihasilkan di dinding dan tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar.

Mural tarikan kereta api di Kluang.
Mural tarikan kereta api di Kluang.

Menceritakan kisah pembukaan Rumah Seni Kluang, Zulkifli Dahlan, 57, tidak menyangka banglo dua tingkat yang dahulunya usang dan terbengkalai kini menjadi tumpuan pelancong tempatan serta luar negara.

Bekas kartunis sambilan majalah humor itu berkata, idea untuk memulakan lukisan di banglo berkenaan bermula kira-kira lima tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakan mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan lukisan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antara lukisan mural yang dihasilkan di Rumah Seni Kluang.
Antara lukisan mural yang dihasilkan di Rumah Seni Kluang.

“Melukis mural 3D dan 4D ini sangat mencabar, ada yang sifatkan ia sebagai kerja gila tetapi saya tetap buat dan keluarkan modal sendiri.

“Mural terawal yang saya buat ialah suasana Kampung Palembang iaitu antara lokasi di Kluang dan sebuah warung kopi yang sinonim dengan daerah ini.

“Kampung Palembang merupakan kampung terawal dibuka di Kluang. Ikut cerita orang dahulu, ada banyak keluang iaitu kelawar jenis besar ketika kampung dibuka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zulkifli, lukisan potret Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang dihasilkan menggunakan cat khas iaitu cat mural, cat pintar dan cat air sebelum disapukan dengan lakuer turut mencuri tumpuan.

Zulkifli berbangga dengan kerja keras menghasilkan lukisan mural 3D dan 4D di Rumah Seni Kluang.
Zulkifli berbangga dengan kerja keras menghasilkan lukisan mural 3D dan 4D di Rumah Seni Kluang.

“Sambutan diberikan amat baik terutama ketika musim cuti persekolahan. Malah, ada yang datang kembali kerana amat menggemari lukisan yang dihasilkan di Rumah Seni Kluang,” ujarnya.

Zulkifli berkata, selain berkarya di Rumah Seni Kluang dan Laman Seni Kluang, beliau juga aktif melukis mural di beberapa daerah lain seperti Mersing, Tangkak dan Batu Pahat.

Lukisan mural rumah di Kampung Palembang di sebuah banglo di Kampung Melayu, Kluang.
Lukisan mural rumah di Kampung Palembang di sebuah banglo di Kampung Melayu, Kluang.

“Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia dan kerajaan Johor yang memasukkan Rumah Seni Kluang sebagai lokasi yang perlu dikunjungi di daerah ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya,”

ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!