Noh gesa kerajaan bantu pesawah terjejas di Barat Laut Selangor

Noh melawat Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini hari ini.
Noh melawat Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan digesa membantu pesawah di Barat Laut Selangor berikutan hasil pengeluaran padi terjejas teruk akibat diserang penyakit serangan hawar bulir bakteria (BPB) dan karah tangkai.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan perlu segera mencari jalan penyelesaian menangani perkara itu.

Menurutnya, bantuan atau sagu hati daripada kerajaan amat diperlukan bagi meringankan beban pesawah yang terpaksa berdepan kerugian pada musim tanaman kali ini.

"Berilah sedikit sagu hati dan paling tidak pun berilah benih padi percuma untuk mereka (pesawah) meneruskan tanaman kedua," katanya yang melawat Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh berkata, beliau yang pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu pesawah menerusi pelbagai bantuan termasuk pemberian benih padi percuma.

Katanya, pesawah mungkin beralih kepada tanaman lain sekiranya tiada bantuan daripada kerajaan sekali gus dibimbangi memberi kesan terhadap jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

"Apabila pesawah mengalami masalah kekurangan modal, sudah tentu mereka takut untuk menanggung kerugian pada musim tanaman seterusnya.

"Bayangkan jika berlaku kecemasan atau darurat dalam negara apa yang akan kita lakukan jika tiada bekalan makanan pada waktu tersebut?

Artikel Berkaitan:

"Misalnya jika berlaku wabak dalam sesebuah negara dan kita tidak dibenarkan mengimport beras sudah tentu ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, sebarang bentuk bantuan yang disalurkan kepada pesawah akan diperhalusi sebelum sebarang keputusan diputuskan kerajaan.

"Kerajaan sentiasa melihat apa sahaja keperluan di peringkat industri terbabit kerana kita tidak tahu (pengurangan hasil padi) disebabkan bencana berlaku tidak sama setiap masa," katanya.