Maqis rampas tiga kontena muatan kurma

Antara kurma yang dirampas di Pelabuhan Pangkalan Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang di sini Sabtu lalu. (Gambar kecil:Zarina Ramli)
Antara kurma yang dirampas di Pelabuhan Pangkalan Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang di sini Sabtu lalu. (Gambar kecil:Zarina Ramli)
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 52.2 metrik tan kurma yang dianggarkan bernilai RM791,395.70 kerana tidak mematuhi syarat import di Pelabuhan Pangkalan Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang di sini Sabtu lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, kurma itu ditemui ketika pemeriksaan rutin ke atas tiga buah kontena berasingan dari Tunisia.

Menurutnya, aktiviti membawa masuk keluaran hasil pertanian yang tidak mematuhi syarat import sepertimana yang dinyatakan pada dokumen permit import sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Bagi kesalahan ini pihak yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(2), akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Maqis akan terus memperketatkan kawalan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Zarina berkata, langkah itu juga bagi memastikan sektor pertanian dalam negara di tahap yang terbaik dan terkawal daripada ancaman perosak mahupun penyakit.

Artikel Berkaitan: