X

Kindly register in order to view this article
!

Fenomena dunia hiburan Korea Selatan

Parasite meraih empat trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada edisi ke-92 acara anugerah perfileman berprestij itu di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.
A
A

MERAK Jalanan memang suka tonton drama dan filem dari Korea Selatan sejak akhir-akhir ini kerana jalan cerita yang unik dan mencabar pemikiran.

Sehinggakan Merak Jalanan terpaksa menahan diri daripada terus menonton cerita baharu kerana bimbang terjebak sehingga terpaksa tidur hingga lewat malam.

Korea Selatan nampaknya bukan sahaja berjaya dengan teknologi pembuatan telefon bimbitnya yang terkenal iaitu Samsung malah kini industri hiburannya turut berjaya menaikkan nama negara tersebut.

Mereka telah berjaya mewujudkan satu budaya baharu menerusi kumpulan penyanyi yang popular di seluruh dunia sehingga mencetuskan fenomena yang dikenali sebagai K-pop yang menjadi kegilaan para remaja.

Industri hiburan seperti penerbitan drama dan filem pula telah menyebabkan jutaan pelancong dari seluruh dunia berkunjung ke negara berkenaan.

Terkini, negara itu telah mencipta satu rekod baharu dalam sejarah penganjuran Anugerah Academy, apabila filem berjudul Parasite meraih empat trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada edisi ke-92 acara anugerah perfileman berprestij itu di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Karya arahan Bong Joon-ho itu muncul filem bahasa asing pertama memenangi kategori Filem Terbaik, selain mengungguli dua kategori lain Filem Antarabangsa Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Filem Parasite ialah naskhah pertama dari Korea Selatan yang dicalonkan pada Anugerah Academy.

Parasite menewaskan filem Joker, Ford v Ferrari, Marriage Story, Jojo Rabbit, The Irishman, Little Women, 1917 dan Once Upon a Time... In Hollywood.

Sehubungan itu, Merak Jalanan sentiasa berharap agar industri hiburan Malaysia mampu untuk meraih kejayaan sama seperti yang dicapai oleh Korea Selatan.