Hala tuju, promosi TMM2020 diubah: Mohamaddin

Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi
A
A
A

PUTRAJAYA - Hala tuju dan promosi Tahun Melawat Malaysia (VM2020) perlu diubah dan diselaraskan dengan situasi negara yang sedang berhadapan dengan Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada negara serta industri pelancongan antarabangsa memerlukan satu inisiatif dan strategi berkesan untuk memastikan misi menarik kehadiran pelancong tidak terjejas.

Menurutnya, untuk tujuan itu kementerian memanggil sebahagian besar daripada pengurus pemasaran Tourism Malaysia di luar negara untuk berkongsi pandangan dan merangka langkah terkini yang boleh diambil bagi menangani kesan daripada penularan wabak tersebut.

"Pada masa ini, keprihatinan utama kita ialah wabak Covid-19 di China yang boleh dan telah memberi kesan kepada sektor pelancongan tempatan dan global.

"Bagaimanapun, bencana yang melanda tanah besar China itu boleh menjadi faktor menjejaskan kedatangan pelancong China ke Malaysia, sekali gus memberi kesan kepada TMM2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena persidangan Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar negara di sini malam ini.

Katanya, China merupakan pasaran tradisi dan penting bagi Malaysia, menjadikan ia antara 10 negara utama menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara melalui sektor pelancongan.

"Atas faktor itu, strategi berkesan serta pelan tindakan pemulihan perlu dibangunkan untuk kempen TMM2020 bagi menangani kesan susulan daripada Covid-19 yang secara langsung menjejaskan industri pelancongan negara.

Artikel Berkaitan:

"Untuk tempoh sementara, pengurus pemasaran Tourism Malaysia serta pihak yang berkenaan perlu beralih fokus kepada pasaran tidak terjejas dengan wabak itu, seperti di rantau ASEAN, India, Asia Barat serta Korea Selatan," katanya.

Mohamaddin berkata, kementerian berharap persidangan ini akan dapat menghasilkan satu langkah atau hala tuju lebih berkesan dalam meningkatkan aliran trafik pelancong daripada pasaran antarabangsa, ketika kerajaan bekerja keras menangani penularan Covid-19.

Susulan wabak Covid-19 di China, pada 27 Januari lalu kerajaan memutuskan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari Wilayah Hubei, termasuk Bandar Wuhan.

Terdahulu, persidangan selama empat hari bermula hari ini dianjurkan Tourism Malaysia dan Malaysia Airport Holdings Berhad dan dihadiri 26 Pengurus Pemasaran serta 11 Pengarah Pejabat Luar Negara.

Ketika ini, terdapat 34 Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar. - Bernama