KPDNHEP kesan premis jual 'coklat dadah' di Terengganu

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah melakukan pemeriksaan di lapan premis di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu untuk mengesan penjualan gula-gula 'Jomei Extra Energy' sepertimana tular di media sosial.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tujuh premis yang diperiksa ialah di daerah Dungun manakala satu lagi premis ialah pemborong di daerah Kuala Terengganu.

"Berdasarkan tinjauan pihak kami, kedai runcit yang ditularkan di media sosial iaitu berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Balai Besar adalah tidak wujud dan hanya menjumpai sebuah kedai kotak di jalan utama Kampung Balai Besar menghala ke Paka.

"Hasil pemeriksaan di kedai berkenaan tiada dijumpai gula-gula 'Jomei Extra Energy Candy'.

"Namun, pemeriksaan ke atas beberapa premis kedai di sekitar Dungun mendapati beberapa kedai ada menjual gula-gula Jomei Extra Energy Candy," katanya kepada Bernama hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai penjualan gula-gula itu yang didakwa sebagai 'coklat dadah' kerana terdapat kes pelajar sekolah yang dikatakan mengalami masalah kesihatan dengan simptom badan menjadi lemah, air liur meleleh, mata tidak boleh berkedip dan sentiasa terketar-ketar setelah makan gula-gula berkenaan.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, pemilik lapan premis terbabit telah dinasihatkan supaya tidak menjual produk itu kerana mungkin boleh memudaratkan kesihatan sebagaimana yang ditularkan di media sosial.

Saharuddin berkata, tiada peruntukan undang-undang di bawah KPDNHEP yang boleh diambil terhadap isu yang tular itu.

Artikel Berkaitan:

"Aduan telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kerana ianya adalah di bawah bidang kuasa KKM dan JKNT memaklumkan bahawa aduan berkenaan sudah diterima dan pemantauan telah dibuat sejak tiga minggu lepas,” katanya.- Bernama