10 premis jual kenderaan terpakai disimbah asid

Soffian
Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa buah kenderaan di 10 buah premis menjual kenderaan terpakai di Green Lane dan Pulau Tikus di sini mengalami beberapa kerosakan akibat disimbah asid dalam kejadian berasingan sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian didapati berlaku sejak awal bulan dengan kes terbaharu adalah beberapa hari lalu.

Menurutnya, sehingga kini, polis menerima 11 laporan berhubung kes tersebut membabitkan 10 buah premis menjual kenderaan terpakai dengan ada diantaranya disimbah asid sehingga dua kali.

"Setakat ini, kita telah menerima 11 laporan polis berhubung kes ini. Ia berkemungkinan melibatkan suspek yang sama dan kita sedang berusaha mengesan mereka yang terlibat.

"Polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi pada Isnin..

Dalam pada itu, Soffian berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada kesemua pemilik premis yang terlibat dan mendakwa mereka tidak berhutang dengan sesiapa termasuk ah long, mempunyai masalah,bergaduh, bermusuh atau perselisihan faham dengan pihak lain.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian. Jumlah kerugian masih belum diperolehi daripada pemilik premis," ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi pihak polis bagi menyalurkan maklumat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.