Datuk Seri dibebaskan dengan jaminan polis

Datuk Seri dibebaskan dengan jaminan polis sekepas ditahan sejak Selasa lalu.
A
A

KUANTAN - Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang ditahan reman sejak Rabu lalu kerana disyaki terlibat menjual syiling emas berpotretkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tanpa kebenaran dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Suspek berusia 30 tahun dari Petaling Jaya itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Seri Gombak, Selangor Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, polis kini sedang mengesan rakan suspek bergelar Datuk yang disyaki turut terlibat dan saksi-saksi bagi membantu siasatan.

Suspek ditahan susulan laporan polis dibuat pegawai penyelaras keselamatan Pemangku Raja Pahang selepas menerima titah baginda berhubung penjualan syiling emas tertera gambar baginda, Sultan Pahang dan jata Sultan Pahang tanpa kebenaran, 28 Disember lalu.

Susulan itu, polis turut merampas tiga keping syiling emas berkenaan yang setiap satu dianggarkan bernilai RM8,000 dan buku katalog.