Hukuman sebat di khalayak ramai beri pengajaran?

Mohd Affendi Awang pada Jumaat menjalani hukuman sebat syariah di khalayak ramai setelah melakukan kesalahan khalwat berulang. Foto Bernama
Mohd Affendi Awang pada Jumaat menjalani hukuman sebat syariah di khalayak ramai setelah melakukan kesalahan khalwat berulang. Foto Bernama
A
A
A

TINDAKAN menyebat pesalah yang melakukan kesalahan syariah di khalayak ramai kini dipersoalkan, sama ada ia mampu memberikan pengajaran kepada individu itu sendiri dan masyarakat ataupun sebaliknya.

Ada juga yang berpihak kepada tertuduh dengan mengatakan perkara itu dianggap tidak wajar kerana melibatkan maruah tercalar dan sebagainya.

Terbaharu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pelaksanaan hukuman sebat di khalayak umum tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Katanya, walaupun akta membenarkan sebat, namun hukuman tersebut tidak menyatakan ia boleh dilakukan secara terbuka kerana menjatuhkan maruah individu, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Pada Jumaat, seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan di khalayak ramai selesai menjalani hukuman tersebut di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Bukan itu sahaja, tertuduh juga pernah menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 19 Februari lalu.

Terdahulu, dia didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga kes pada 3 September 2018, dua wanita yang merupakan pasangan songsang dikenakan hukuman sebat enam kali dengan disaksikan kira-kira 100 orang di Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan musahaqah atau lesbian.

Dalam pada itu, Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) mendakwa Majlis Peguam Malaysia mengeluarkan kenyataan berat sebelah dan prejudis berhubung hukuman sebatan syariah di khalayak ramai.

Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, hukuman dilaksanakan adalah prinsip utama kepada hukuman syariah bersifat mendidik dengan timbulnya rasa malu kepada pesalah yang telah melakukan kesalahan tidak bermoral.

Persoalannya, sejauh manakah hukuman itu mampu menginsafkan masyarakat yang melihat agar kesalahan atau dosa menjadi sesuatu digeruni untuk dilakukan?

Walaupun realitinya, ia tidak dipersetujui oleh sesetengah bijak pandai yang berpendapat hukuman tersebut bersifat kejam atau tidak berperikemanusiaan.

Justeru itu, perkara tersebut masih memerlukan lebih banyak pendedahan terperinci kepada seluruh rakyat supaya tidak disalah erti dan tiada pihak yang memutarbelitkan fakta sahih mengenainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!