Pesalah khalwat selesai disebat 6 kali di khalayak ramai

Seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan depan khalayak ramai selesai menjalani hukuman tersebut di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Jumaat. Foto Bernama
Seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan depan khalayak ramai selesai menjalani hukuman tersebut di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan depan khalayak ramai selesai menjalani hukuman tersebut di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Jumaat.

Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang tukang rumah itu menjalani hukuman sebatan tersebut selepas mengaku bersalah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga dengan wanita berbeza.

Mohd Affendi hadir pada jam 2.28 petang dengan mengenakan baju lokap bewarna merah.

Pesalah menutup muka menggunakan pelitup diiringi dua pegawai penjara pelaksana hukuman sebat masuk ke bilik persediaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selama 20 minit.

Pesalah kemudian dibawa keluar jam 2.48 petang selepas pegawai perubatan mengisytiharkan kepada mahkamah bahawa pesalah layak menjalani hukuman tersebut.

Kemudian pesalah dibawa di hadapan tiga pemerhati terdiri daripada pegawai perubatan, pegawai penjara dan dan pegawai mahkamah syariah.

Suasana di dalam dewan sepi tanpa suara selain pemerhati tekun memerhatikan pelaksanaan hukuman.
Suasana di dalam dewan sepi tanpa suara selain pemerhati tekun memerhatikan pelaksanaan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Selepas pembacaan pengesahan nama dan nombor kad pengenalan dibacakan oleh pegawai penjara, pesalah layak menjalani hukuman tepat jam 2.50 petang.

Tangan pesalah disilangkan atas meja dengan membelakangi orang ramai dan sebatan dikenakan terhadapnya oleh tukang sebat dari penjara.

Ketika itu, suasana di dalam dewan sepi tanpa suara selain pemerhati tekun memerhatikan pelaksanaan hukuman.

Prosedur sebatan hanya mengambil masa selama dua minit sebelum pesalah keluar diiringi dua pegawai penjara untuk masuk semula ke bilik pemeriksaan.

Kes syariah yang mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak itu berjaya menarik minat lebih 100 orang yang berkumpul di luar untuk melihat bagaimana hukuman dijalankan.

Bagaimanapun hanya 90 orang terdiri daripada wakil kerajaan negeri, wakil setiap jabatan, wakil persatuan peguam dan wakil media yang dibenarkan melihat proses sebatan tersebut yang diadakan di Dewan A'asim di masjid berkenaan.

Sebelum hukuman dijalankan itu, pegawai mahkamah syariah yang membaca fakta kes pesalah berkenaan turut menyatakan bahawa hukuman yang dilaksanakan bukanlah untuk menyakiti pelaku, sebaliknya ia adalah untuk mendidik supaya pesalah tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang serta memberi pengajaran kepada semua pihak.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!