KAFA komited langsai tunggakan hutang

Muhammad Nasir (dua dari kiri) dan Wan Abdul Rahim menyambut ketibaan para pemain TRW semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
Muhammad Nasir (dua dari kiri) dan Wan Abdul Rahim menyambut ketibaan para pemain TRW semalam. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) komited menyelesaikan masalah tunggakan hutang melibatkan bayaran gaji kepada bekas pemain, jurulatih tempatan dan import yang pernah bersama The Red WarriorS (TRW).

Presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, KAFA melakukan pakej bayaran berjadual dan ia telah dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, pakej bayaran berjadual berkenaan telah pun dibuat mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

“Sepanjang 20 tahun di bawah empat presiden sebelum ini, kita memang bermasalah dengan tunggakan hutang kepada pemain tempatan, pemain luar negara, jurulatih tempatan dan jurulatih luar negara. Malah ada kes melibatkan bekas pemain import kita, Morgoro Gomis dipanjangkan ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyebabkan kita diperintahkan untuk membayar RM540,000 oleh FIFA. Kita dah selesai buat bayaran itu.

Wan Abdul Rahim
Wan Abdul Rahim

“Selain itu, kita bukan sahaja selesaikan hutang dengan pemain tetapi hutang kita dengan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Perkeso dalam tempoh 20 tahun ini.

“Oleh itu, berhubung perkara berkenaan kita telah melakukan pakej bayaran berjadual dan dibuat mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya kepada Sukan Sinar sempena majlis pengenalan pemain Kelantan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Pengerusi Majlis Penasihat KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengurus TRW, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari; Ketua Jurulatih TRW, Yusri Che Lah serta kesebelasan pemain TRW.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir memberikan kata-kata semangat kepada pemain TRW semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI
Muhammad Nasir memberikan kata-kata semangat kepada pemain TRW semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI

Tambah Wan Abdul Rahim, KAFA menubuhkan TRW Sdn Bhd bagi mengendalikan pasukan utama Kelantan yang bersaing dalam saingan Liga Premier musim ini.

Katanya, penubuhan berkenaan dilihat selaras langkah FAM berhubung pertukaran status pasukan daripada FA kepada FC mulai 2021.

“Mulai 2021, semua pasukan didaftar atas nama FC bukan FA. Oleh itu, kita tubuhkan TRW Sdn Bhd sebagai badan yang akan mengendalikan pasukan Liga Premier Kelantan dan kita di KAFA akan mengendalikan urusan skuad Piala Presiden, Piala Belia, Wanita dan futsal,” katanya.

Sementara itu, Wan Abd Rahim berkata, FAM tidak ada lagi membenarkan pihak KAFA membuat sesi live streaming (siaran langsung) bagi perlawanan-perlawanan melibatkan TRW sama ada dari Stadium Sultan Muhammad IV mahu pun dari mana-mana stadium.

Katanya, hak bagi siaran langsung itu telah pun diberikan kepada pihak lain yang memiliki kontrak dengan FAM.

“Kebenaran melakukan sesi live streaming ini hanya dibenarkan untuk aksi persahabatan pra-musim sahaja. Larangan FAM itu turut meliputi semua pasukan dalam saingan Liga Malaysia dan diharapkan ia tidak akan jadi isu besar selepas 28 Februari ini,” katanya.

Pengurusan, pemain dan penyokong setia TRW bergambar kenangan selepas majlis berkenaan.- Foto Kelantan FA
Pengurusan, pemain dan penyokong setia TRW bergambar kenangan selepas majlis berkenaan.- Foto Kelantan FA