Crypto AG: Kerajaan jamin tiada maklumat rahsia bocor

Laporan Sinar Harian 20 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian 20 Februari lalu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan akan memastikan penggunaan alat pengekodan Crypto AG tidak akan membocorkan sebarang rahsia sulit.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah-langkah tertentu diambil bagi memastikan tidak ada maklumat sulit kerajaan tersebar melalui penggunaan Crypto AG tersebut.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pegawai-pegawai di kementerian itu supaya menggunakan teknologi penghantaran kod komunikasi sulit bukan untuk menyalurkan maklumat rahsia.

"Ini bukan sahaja Malaysia, banyak negara terbabit. Ada langkah-langkah tertentu yang kita ambil untuk menentukan tidak ada perkara penting yang boleh tersebar luar daripada batas agensi-agensi keselamatan.

"Paling penting kawalan-kawalan kerahsiaan itu terus kita laksanakan kerana saya diberitahu ini bukan baharu, sejak dari dulu lagi (menggunakan Crypto AG)," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-48 Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon; Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kamarudin Rapig dan Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Abdul Hamid.

Sebelum ini Washington Post mendedahkan Malaysia disenaraikan antara negara pembeli peranti penyulitan data (encryption) yang ditipu daripada sebuah syarikat yang sudah ditutup, dimiliki Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND).

Dalam satu laporan khas akhbar tersebut menyenaraikan bagaimana Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) dan BND Jerman Barat secara rahsia memiliki syarikat Switzerland, Crypto AG sejak 1970-an.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia didakwa jadi mangsa perisian palsu CIA, BND

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan perkhidmatan tersebut terhad kepada untuk menyalurkan maklumat bukan terlalu sensitif.

Menurutnya, ia hanya digunakan untuk komunikasi dalam operasi-operasi jangka pendek dan bukan untuk operasi jangka panjang atau untuk salur maklumat berperingkat.