Daftar mualaf: Wanita Sarawak dibenarkan mulakan semakan kehakiman

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita dari Sarawak dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman, untuk memaksa Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan mengeluarkan namanya daripada Daftar Mualaf.

Panel tiga hakim iaitu Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Supang Lian, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebulat suara membenarkan permohonan wanita itu selaku perayu, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 September 2023, yang menolak permohonan beliau untuk memulakan semakan kehakiman.

Memberikan penghakiman menerusi prosiding secara dalam talian, Hakim Supang berkata mahkamah mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mengenakan beban yang lebih tinggi kepada perayu, menunjukkan bahawa permohonannya bukanlah suatu yang remeh.

"Pada kami, Hakim Mahkamah Tinggi itu ketika menolak permohonan awal, perlu melihat kepada merit hujah yang bertentangan oleh pihak-pihak dan bukannya sekadar berpuas hati bahawa terdapat hujah-hujah serius yang perlu diputuskan pada perbicaraan semakan kehakiman," katanya.

Hakim Supang berkata, kebenaran itu tidak sepatutnya dinafikan terhadap perayu atas dasar responden pertama (Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf), berkaitan kekurangan kewajipan berhubung solat mandamus.

"Oleh itu rayuan perayu adalah bermerit dan dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu diberi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi," kata Hakim Supang.

Peguam Iqbal Harith Liang mewakili wanita berusia 27 tahun itu, manakala Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali mewakili kerajaan.

Wanita itu memfailkan permohonan itu pada 20 April 2023 dan menamakan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan sebagai responden.

Artikel Berkaitan:

Pemohon yang dilahirkan dengan kedua-dua ibu dan bapanya beragama Kristian, memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi beragama Islam.

Wanita itu juga memohon supaya namanya dikeluarkan daripada Daftar Mualaf serta-merta dan memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonan pemohon dalam surat bertarikh 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023, sebagai tidak rasional dan tidak munasabah.

Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata pada 18 Ogos 2017, pemohon memeluk agama Islam dan didaftarkan sebagai mualaf selepas seorang lelaki Islam mengajaknya berkahwin.

Bagaimanapun, pada 27 Januari 2022, pemohon telah berikrar dalam afidavit bahawa dia mahu keluar daripada agama Islam dan kembali menganut Kristian dan memohon namanya dikeluarkan daripada Daftar Mualaf yang Pendaftar Mualaf belum memberikan sebarang keputusan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!