Pengurus syarikat insurans cedera dakwa diserang Datuk Seri di restoran

MELAKA - Seorang pengurus sebuah syarikat insurans bukan sahaja terpaksa menahan kesakitan malah mengalami kecederaan selepas didakwa 'diserang' individu bergelar Datuk Seri pada pertengahan bulan lalu.
Mangsa, Muhammad Nur Hakim Baharudin, 30, berkata, dia yang ketika itu sedang menemu duga seorang wanita di sebuah restoran telah didatangi individu itu yang juga merupakan ahli perniagaan dengan tiga individu lain.

Menurutnya, sejak insiden pada 14 November lalu, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, namun terkilan kerana kesemua mereka masih belum dihadapkan ke muka pengadilan.
Katanya, mendakwa menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan di Taman Melaka Raya, jelas memaparkan tindakan Datuk Seri terbabit yang telah mengetuk kepalanya dengan tangan sebelum seorang lagi menumbuk mulut sehingga kepalanya terhantuk ke dinding kedai.
"Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tengkera pada 28 November lalu.
"Namun saya hairan kerana selepas hampir sebulan kejadian berlaku masih belum ada berita yang jelas daripada pihak berkuasa," katanya ketika sidang akhbar di Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, wakil peguam, Sa’eed Khaliq berkata, tindakan mengasari mangsa yang dilakukan mereka seolah-olah negara tidak mempunyai undang-undang.
Menurutnya, berharap pihak berkuasa dapat segera menjalankan siasatan secara telus dan adil bagi memastikan mereka yang teraniaya dan dicederakan mendapat pembelaan sewajarnya.
"Anak guam saya cedera selepas diserang dan saya percaya undang-undang negara tidak mengira status latar belakang seseorang itu, jadi mangsa berhak diadili," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

