Ringgit kukuh tak semesti harga makanan akan turun - Rafizi
KUALA LUMPUR - Pengukuhan nilai ringgit tidak semestinya menurunkan kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) atau harga makanan di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, harga makanan didorong oleh kos pengeluaran dalam negara, kesan tertangguh, peningkatan permintaan dan ketidakstabilan harga komoditi global.
“Kos pengeluaran dalam negara seperti kos buruh, utiliti dan logistik yang masih tinggi walaupun kos import telah berkurangan mengakibatkan harga makanan kekal tinggi.
“Selain itu, kesan tertangguh atau lag effect akan menyebabkan pengukuhan ringgit tidak memberi kesan serta-merta kepada harga barangan pengguna kerana peniaga dan pengeluar memerlukan masa untuk menyesuaikan harga.
“Peniaga juga mungkin telah membeli stok barangan pada kadar tukaran yang lebih rendah sebelum ringgit mengukuh, menyebabkan harga tidak berubah dalam tempoh terdekat,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai sebab pengukuhan nilai ringgit tidak menurunkan IHP di mana laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperlihatkan harga makanan kekal tinggi.
Tambah Rafizi, bahan makanan seperti bijirin dan beras masih dipengaruhi oleh harga pasaran global maka, ketidaktentuan harga komoditi itu mengakibatkan harga makanan di Malaysia kekal pada paras sedia ada.
“Situasi ini memperlihatkan bahawa pengukuhan ringgit bukanlah merupakan faktor utama kepada penurunan harga makanan,” katanya.
Jelas beliau, pengukuhan nilai ringgit merujuk kepada peningkatan kekuatan mata wang Malaysia berbanding negara lain terutama dolar Amerika Syarikat.
Menurutnya, ia didorong oleh permintaan ringgit lebih tinggi disebabkan prestasi perdagangan dan pelaburan yang positif serta keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara.
“Pengukuhan ini bukan sahaja membantu meningkatkan daya saing ekonomi negara pada peringkat global.
“Malah turut memberi manfaat kepada pengguna melalui kos barang import yang lebih rendah yang seterusnya meningkatkan kuasa beli terhadap barangan import termasuk bahan mentah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!