Pernah jadi pembantu jurusolek, A Galak terima gaji pertama RM4.50
DIKENALI dengan jolokan Sarjan Misai kerana komitmen panjangnya dalam drama kepolisan, Gerak Khas dan Ronda-Ronda Kotaraya, siapa sangka pelakon veteran, A Galak pernah bekerja sebagai pembantu jurusolek.
Kongsi A Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad, 82, pekerjaan itu dibuat sebaik tamat persekolahan di Studio Jalan Ampas, Singapura.
"Ketika itu, ibu saya Allahyarhamah Rokiah Jaafar merupakan pelakon di Studio Jalan Ampas. Selepas tamat sekolah, saya tidak tahu buat apa, jadi saya ke sana untuk cuba minta kerja.
"Jadi mereka beri kerja sebagai pembantu jurusolek. Pada mulanya saya mahu menolak kerana tidak tahu menyolek, tetapi mereka minta saya solek pelakon lelaki dan kemudian diajar cara-caranya.
"Pada ketika itu, pelakon wanita di solek oleh jurusolek wanita dan begitu sebaliknya. Cuma pekerjaan itu bukan jiwa saya sebab bagi saya solekan lebih sinonim dengan wanita," jelasnya.
A Galak berkata demikian ketika ditemui di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) baru-baru ini.
Pada acara gilang-gemilang itu, A Galak menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi.
Tambah A Galak, pada usia 19 tahun, beliau memberanikan diri mencuba nasib sebagai pelakon tambahan menerusi filem Nujum Pak Belalang pada tahun 1959.
Katanya, pada ketika itu, beliau mendapat gaji sebanyak RM4.50 sehari."Waktu itu dapat RM4.50 sehari pun sudah banyak. 50 sen perlu diserahkan kepada ejen yang mencarikan kerja.
"Zaman itu, nasi lemak pun baru 10 sen, malah saya boleh beli macam-macam dengan gaji RM4 sehari, kalau dua hari sudah RM9," katanya yang pernah membintangi filem Ali Baba Bujang Lapok di bawah arahan Seniman Tan Sri P Ramlee.
Sementara itu, mengulas mengenai pengiktiran Anugerah Kas Sepanjang Zaman, A Galak memaklumkan, itu adalah anugerah pertama yang diterima sepanjang 65 tahun berkecimpung dalam industri seni.
Katanya, sebaik Studio Jalan Ampas ditutup, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya bersama Skop Production.
"Saya lahir di Johor Bharu tetapi membesar di Singapura. Selepas Studio Jalan Ampas tutup, saya mencuba nasib di Kuala Lumpur.
"Saya terhutang budi kepada Datuk Yusof Haslam kerana meletakkan kepercayaan kepada saya dan memberi saya peluang membintangi drama serta filem terbitan Skop Production," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!