Malaysia tidak benar kapal asing berlabuh jika enggan kongsi maklumat

Dr Wan Azizah pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Dr Wan Azizah pada sidang media di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia bertegas untuk tidak membenarkan kapal asing berlabuh di perairan negara sekiranya enggan berkongsi maklumat penting yang diperlukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan itu bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, tiada kapal asing yang dilaporkan mendapat kebenaran berlabuh di negara ini.

"Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) melaporkan bahawa kapal Westerdam dan Saphhire Princess membuat permohonan untuk berlabuh.

"Kapal Westerdam memuatkan 1,000 penumpang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari lalu. Bagaimanapun kapal ini mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam, manakala Sapphire Princess selamat berlabuh di Singapura

"Tidak timbul isu ada kapal berlabuh," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini hari ini," katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Pada perkembangan sama, Dr Wan Azizah berkata, Malaysia tidak akan mengikuti jejak langkah China untuk menukar definisi kes positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan itu hanya dilaksanakan di Hubei kerana makmal di wilayah itu tidak dapat menampung keperluan untuk melakukan ujian," katanya.

Menurutnya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tempatan masih berupaya menampung ujian saringan wabak berkenaan.

"MRI kita sudah buat persiapan awal, insya-ALLAH kita dapat tangani," katanya.