Kurangkan risiko memandu waktu malam

Malaysia menanggung kerugian lebih RM10 bilion setahun akibat 6,000 kematian di jalan raya.
Malaysia menanggung kerugian lebih RM10 bilion setahun akibat 6,000 kematian di jalan raya.
A
A
A

STATISTIK Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangkumi 183 buah negara pada pertengahan tahun lalu telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-57 dari segi banyaknya kes kemalangan jalan raya.

Data yang dikeluarkan oleh Zutobi iaitu firma pendidikan pemanduan antarabangsa pada tahun 2022 pula agak lebih memeranjatkan apabila Malaysia berada di tempat kelapan antara 10 buah negara di dunia yang paling berbahaya untuk memandu.

Malaysia juga menanggung kerugian lebih RM10 bilion setahun akibat 6,000 kematian di jalan raya. Pada tahun lalu, angka korban mencatatkan rekod baharu apabila 6,443 orang dilaporkan terkorban.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam kenyataannya pada bulan lalu memberitahu, sebanyak 522,125 nahas jalan raya direkodkan sejak Januari hingga Oktober 2024.

Jika diteliti kepada kemalangan yang meragut banyak nyawa di jalan raya dan lebuh raya di Malaysia seperti dilaporkan oleh media massa, biasanya ia banyak terjadi pada waktu malam dan awal pagi antara 1 pagi hingga Subuh.

Pada waktu malam, kelab-kelab malam dan sebegitu banyak restoran yang menghidangkan minuman keras di bandar dan pekan mula dikunjungi dan kebanyakan pelanggan mungkin keluar ke jalan raya sebagai pemandu mabuk. Kehadiran golongan pemandu mabuk ini menambah risiko pemanduan pada waktu malam.

Selain ancaman daripada pemandu mabuk, faktor jalan raya itu sendiri adalah punca kemalangan banyak berlaku.

Selama ini, pihak yang bertanggungjawab membina, mengurus dan mengendalikan jalan raya atau lebuh raya merasa cukup selesa dan leka kerana mereka amat jarang dipersalahkan jika berlaku kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya adalah keadaan jalan raya di sesebuah kawasan yang nampak sempurna pada waktu siang, belum tentu selamat untuk pemanduan pada malam hari.

Contoh jelas adalah jika dulu pembahagi-pembahagi jalan biasanya dicat berjalur warna putih dengan warna kuning atau coklat tetapi sekarang hanya dibuat garisan putih di tepi pembahagi jalan tersebut.

Masalah berlaku apabila garisan putih tersebut sudah pudar warna atau tidak lagi kelihatan apabila air hujan bertakung menutupi garisan putih berkenaan.

Tidak menghairankan jika kerap dilaporkan berlaku kenderaan merempuh pembahagi jalan pada waktu malam apalagi jika mata si pemandu silau oleh lampu dari kenderaan dari arah bertentangan.

Garisan pemisah putih di jalan raya dan lebuh raya adalah faktor penting yang mesti diambil serius oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pengendali bagi membantu pemanduan serta mesti dipastikan tidak pudar warna atau dipasang pemantul cahaya.

Di semua laluan gelap sama ada di jalan persekutuan, jalan negeri dan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak pengurusannya jangan terlalu berkira untuk memasang tiang-tiang lampu jalan di sepanjang laluan bagi mengurangkan risiko memandu pada malam hari.

Tiang-tiang lampu yang terpacak di tengah pembahagi jalan pula perlu dipastikan dicat warna pantul cahaya bagi mengelak pemandu merempuh tiang lampu itu pada waktu malam.

Di laluan-laluan gelap tanpa lampu jalan pula termasuk di luar bandar, JKR dan PBT perlu memasang garisan atau pemantul cahaya bagi membantu pemanduan.

Bagi mengurangkan nahas, JKR dan syarikat-syarikat konsesi harus peka dan cepat bertindak mengesan sebarang kerosakan dengan meningkatkan rondaan di jalan raya seperti arahan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi seperti dilaporkan oleh Sinar Harian pada Selasa lalu.

“Janganlah kita tunggu isu menjadi tular baru hendak bertindak. Pesanan ini sudah saya tekankan berulang kali...,” tegas Alexander dalam kenyataan di Facebooknya.

Sebagai pembayar cukai jalan, pembayar tol dan cukai pintu, rakyat negara ini tentunya berhak untuk menggunakan jalan raya dan lebuh raya yang selamat termasuk mengurangkan risiko pemanduan pada waktu malam.

* Marzuki Yusoff adalah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!