X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan tangguh pinda akta tingkat hukuman pemandu mabuk

A
A

KUALA NERUS - Kerajaan diminta supaya tidak menangguhkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi meningkatkan hukuman lebih berat kepada individu yang memandu secara berbahaya dan mabuk pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pindaan akta berkenaan tidak boleh ditangguhkan lagi bagi mengelakkan lebih banyak nyawa hilang akibat pemandu mabuk.

Malah menurutnya, usaha mengkaji perkara itu telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sejak 2018 dan 2019 lagi.

"Saya menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya pandangan yang lebih holistik termasuk daripada perspektif Islam perlu diperhalusi dalam usaha kerajaan mengemukakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengatasi gejala pemandu mabuk sehingga menyebabkan banyak kematian orang awam.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam, jadi amat wajar saranan itu dipertimbangkan, iaitu adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam serta adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, banyak negara-negara bukan Islam di benua Asia seperti Taiwan dan China telah mengetatkan undang-undang jalan raya mereka.

"Ia termasuklah menghukum mati pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam, begitu juga negara bukan Islam di Benua Eropah seperti Sweden dan di Benua Amerika seperti sesetengah negeri di Amerika Syarikat.

"Paling asas adalah untuk menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol yang pernah dicadangkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Othman Talib, atau menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang mengakibatkan kemalangan maut," katanya.

Beliau berkata, aspek penguatkuasaan bersepadu daripada semua agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan juga perlu dititikberatkan.

"Jika penguatkuasa boleh dihantar ke restoran bagi menahan rakyat yang merokok, mengapa penguatkuasa tidak dihantar ke pusat hiburan yang menghidangkan alkohol bagi menahan rakyat yang memandu dalam keadaan mabuk?" soalnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hukuman pemandu mabuk: Pas saran mufti, Jakim beri pandangan