X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Nor Aieni kembali jadi NC UMT

Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar
A
A

KUALA NERUS - Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar kembali menjalankan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkuat kuasa semalam.

Pejabat Komunikasi Korporat UMT dalam kenyataannya berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah bersetuju untuk menyambung semula kontrak Dr Nor Aieni sebagai Naib Canselor UMT sehingga tarikh asal tamat kontrak pada 12 April 2020.

Ia bagi melancarkan pentadbiran dan menyelesaikan urusan universiti.

Penyerahan surat tersebut diterima daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Mohd Gazali Abas sempena sesi pertemuan kunjungan hormat Naib Canselor Universiti Awam kepada perdana menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.

"Sehubungan itu juga, tempoh pelantikan Profesor Ir. Dr Noor Azuan Abu Osman yang menjalankan fungsi Naib Canselor berakhir pada Rabu lalu.

"Seluruh warga UMT merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti yang telah Dr Noor Azuan curahkan sepanjang tempoh lantikan sebagai pemangku Naib Canselor UMT.

"Warga universiti yakin Dr Nor Aieni sebagai Naib Canselor akan meneruskan usaha beliau membawa UMT tersohor di arena pendidikan negara dan diperakui di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, KPM dalam keputusannya telah memendekkan perkhidmatan Dr Nor Aieni sebagai Naib Canselor UMT berakhir pada 30 Disember 2019.

Keputusan itu bagaimanapun menimbulkan kontroversi, apabila perkhidmatannya dipendekkan dan ditamatkan sebelum tarikh rasmi yang telah dipersetujui di antara KPM dan beliau sendiri iaitu pada 12 April 2020.