MTUC sokong gesaan NUBE mansuh fi RM1 pengeluaran tunai ATM

Laporan Sinar Harian berhubung gesaan NUBE supaya fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran ATM dimansuhkan. Gambar kanan: Mohd Effendy
Laporan Sinar Harian berhubung gesaan NUBE supaya fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran ATM dimansuhkan. Gambar kanan: Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong penuh gesaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) supaya fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dimansuhkan.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, fi itu memberikan tekanan tambahan kepada pekerja berpendapatan rendah, khususnya mereka yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Caj ini dilihat membebankan kerana ramai pekerja yang tinggal di kawasan pedalaman atau kurang akses kepada ATM bank mereka sendiri terpaksa menggunakan perkhidmatan bank lain. Fi RM1 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada mereka yang sering mengeluarkan tunai.

“Pekerja yang menerima gaji secara mingguan atau harian, contohnya akan menanggung beban kewangan lebih tinggi kerana kekerapan pengeluaran. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, setiap sen adalah sangat bermakna untuk golongan pekerja dan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

NUBE pada Isnin lalu dilaporkan menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank yang lain supaya memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di ATM.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, fi yang dikenakan kepada pelanggan membebankan keluarga berpendapatan rendah yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Mohd Effendy menjelaskan, institusi kewangan dan PayNet mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak menjejaskan kebajikan rakyat.

Menurutnya, pemansuhan fi tersebut akan menunjukkan keprihatinan institusi kewangan dan PayNet terhadap golongan rentan dan membuktikan bahawa sektor perbankan di Malaysia bersedia untuk menyokong rakyat, terutamanya pekerja yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengambil maklum bahawa semasa pandemik Covid-19, fi ini telah dimansuhkan sebagai langkah membantu rakyat menghadapi cabaran kewangan. Oleh itu, MTUC percaya pendekatan ini harus dikembalikan kerana rakyat masih menghadapi kesukaran kewangan dalam proses pemulihan ekonomi.

“MTUC turut menyokong cadangan agar golongan tertentu seperti pekerja berpendapatan rendah, warga emas dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar diberikan pengecualian sekiranya pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Katanya, MTUC juga menyeru agar BNM, PayNet dan semua institusi kewangan untuk mengambil langkah segera memansuhkan fi berkenaan kerana ia akan meringankan beban kewangan pekerja, meningkatkan kepercayaan terhadap sistem perbankan dan menunjukkan empati yang sangat diperlukan dalam situasi ekonomi semasa.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, MTUC menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor mengenai fi tersebut baru-baru ini tidak mewakili pendirian rasmi MTUC.

Ujar beliau, sebarang kenyataan rasmi MTUC hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Setiausaha Agung atau individu yang telah diberikan mandat secara sah oleh kepimpinan MTUC.

“MTUC menyeru semua pihak yang berkepentingan untuk merujuk kepada kenyataan rasmi yang disahkan oleh kepimpinan tertinggi MTUC bagi memastikan ketepatan maklumat dan konsistensi dalam memperjuangkan hak pekerja.

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan MTUC akan terus bekerja rapat dengan NUBE serta pihak-pihak lain yang berkepentingan untuk memperjuangkan kepentingan pekerja dan memastikan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan,” kata beliau.

ENDS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!