Pesanan dari hati kepada penerus legasi
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub menitipkan pesanan berharga kepada penerus legasi yang bakal menyambung perjuangannya supaya terus kekal mempertahankan dan meningkatkan kemajuan syarikat itu.
Menurut beliau, selama 47 tahun mengendalikan syarikat tersebut, banyak turun naik ditempuhi dalam perniagaan penerbitan serta percetakan dan kini masanya untuk legasi berkenaan diteruskan barisan kedua.
"Formula ayah dan mak saya berikan, saya gunakan untuk membesarkan keluarga saya dan membina Karangkraf.
"Pembinaan Karangkraf ini dalam bentuk kekeluargaan. Apa yang penting saf itu harus itu dikekalkan, kesatuan dan kebersamaan itu juga harus kekalkan.
"Semoga tradisi ini dapat diteruskan. Legasi harus bersatu dan teruskan tradisi ini. Jangan biarkan ia hancur kerana Karangkraf berbeza dengan syarikat lain. Karangkraf ialah sebuah organisasi yang mempunyai roh membina jiwa dan minda.
"Saya betul-betul berharap kepada barisan kedua meneruskan legasi ini dengan mengekalkan roh yang ada dan yang penting di peringkat keluarga. Kalau kita berpecah kita tidak kuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Kesyukuran 70 Tahun Meniti Usia Legasi Haji Yaacub di Dewan Karangkraf di sini pada Khamis.
Staf perlu tingkatkan syarikat
Sementara itu, Hussamuddin turut memberikan pesanan kepada sempena kakitangan Karangkraf agar perlu bergabung dan kreatif mencari kaedah untuk terus mencapai kemajuan syarikat pada masa akan datang.
Ujarnya, syarikat media termasuk Karangkraf menempuh dugaan besar sejak tahun 2012 akibat badai teknologi digital.
"Pun begitu, ALLAH lindungi kita selama ini, tengok apa berlaku kepada media lain, ada yang tidak tahu hilang ke mana.
"Jadi staf harus bergabung mesti fikirkan bagaimana untuk terus memastikan syarikat ada pertumbuhan, selama 12 tahun ini tidak boleh hanya bertahan, tanpa peningkatan kita akan mati. Inilah tanggungjawab staf Karangkraf untuk pertahankan.
"Karangkraf dalam 10 tahun pertama, kami bergelut dan berjuang membina syarikat. Kemudian 10 tahun kedua, kami mula stabil.
"Memasuki 15 tahun seterusnya, kami sudah kukuh dan menjadi sebuah gergasi. Namun pada 2012, kami dibadai oleh teknologi digital. Sudah 12 tahun ini kita bertahan. Ramai juga yang sudah gugur.
"Bagaimana kita boleh bertahan, rupanya Karangkraf ini lain daripada yang lain. ALLAH bantu kita. Walaupun kita tak senang tetapi kita masih boleh bayar gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya walaupun bisnes merosot.
"Ini yang luar biasa. Inilah bantuan ALLAH kerana benda-benda yang kita tidak nampak," ujar beliau.
Masuk syurga bersama keluarga
Dalam pada itu, Hussamuddin turut menitip nasihat untuk semua terutama ahli keluarga beliau supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.
Kata penerima Anugerah Khas Tokoh Korporat sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M itu, duit dan kesenangan bukan segalanya, namun perlu dipastikan berjaya di dunia dan boleh masuk syurga bersama keluarga apabila meninggal dunia.
"Saya nak pesan kepada anak dan menantu, jangan ulangi kesilapan saya, saya bekerja terlalu kuat untuk memewahkan kalian, tapi saya tidak berikan keutamaan kepada agama, hanya kebelakangan ini sahaja. Jadi jangan lakukan kesilapan itu.
"Ajar anak kalian baca al-Quran, jangan tinggalkan solat daripada sekarang. Kalau tidak kalian akan menyesal macam saya. Saya selalu berkongsi dengan isteri, saya menangis. Orang puja saya di luar, kagum dengan saya, tapi saya gagal dalam ini.
"Saya berharap kesilapan ini tidak diulangi kerana duit dan kesenangan bukan segalanya. Saya makan sedikit, makan asas, tak belanja banyak tapi kebahagiaan itu apa? Jadi kita perlu pastikan kita berjaya di dunia, mati boleh masuk syurga bersama keluarga kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!