Selenggara parit Kampung Assam Jawa elak banjir berulang
KUALA SELANGOR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit di Kampung Assam Jawa di sini dengan lebih sistematik bagi mengelakkan kawasan sekitar dilanda banjir.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, S Thiban berkata, kerja-kerja penyelenggaraan dan mendalamkan parit di Kampung Assam Jawa di sini perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan tiada penduduk terjejas akibat kawasan mereka dinaiki air terutama pada musim hujan.
Menurut beliau, terdapat kira-kira 30 kediaman penduduk di kampung itu dan 50 rumah di Taman Perumahan Melawati Jaya berisiko terjejas sekiranya air parit melimpah.
"Saya berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Jurutera JPS Kuala Selangor bagi membincangkan isu sistem perparitan yang dihadapi penduduk di Assam Jawa.
"Perkara ini perlu ditangani segera kerana kita tahu sistem saliran adalah aspek paling penting bagi mengelakkan bencana ini daripada terus berulang," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Thiban, sistem perparitan yang tersumbat di kampung itu menyebabkan tiga rumah penduduk berhampiran parit utama telah dinaiki air pada Jumaat lalu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan lima mangsa daripada satu keluarga di kampung itu telah ditempatkan sementara di sebuah hotel berdekatan.
"Kami telah mengambil inisiatif segera membantu penduduk terjejas untuk memindahkan mereka ke tempat perlindungan.
"Saya tidak mahu masalah sama terus membelenggu penduduk hingga menjejaskan urusan seharian," ujar beliau.
Beliau berkata, keluarga yang dipindahkan juga telah pulang ke kediaman mereka selepas banjir kembali surut pada Selasa lalu.
Katanya, meskipun terdapat kerja-kerja penyelenggaraan parit dilakukan oleh pihak kontraktor dilantik JPS, namun kerja-kerja itu memerlukan pemantauan berterusan.
"Kita dapati walaupun ada kerja penyelenggaraan, namun jika hujan berterusan kita bimbang parit sedia ada ini tidak mampu menampung takungan.
"Justeru, saya berharap penyelenggaraan ini turut meliputi kerja-kerja menggali dan mendalamkan parit sedia ada bagi mengelakkan ia tersumbat dan melancarkan air terus ke Sungai Assam Jawa yang hanya 500 meter dari parit sedia ada," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!