Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan penyusutan minat terhadap unit tempatan susulan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat yang lebih lemah daripada dijangkakan.

Pada jam 9.26 pagi, ringgit disebut pada 4.1410/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1390​/ 1420 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata minat pelabur beralih daripada ringgit selepas prestasi KDNK suku keempat 2019 mencatatkan 3.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku keempat 2018.

"Selain itu, Bank Negara Malaysia pula membayangkan satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam masa terdekat yang dilihat tidak menguntungkan pelabur," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali berbanding pound Britain yang menyaksikannya susut kepada 5.4011/4067 daripada 5.3683/3730 sewaktu ditutup semalam.
Artikel Berkaitan:


Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9800/9839 daripada 2.9824/9852 semalam.

Ia turut mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7714/7754 daripada 3.7716/7747 dan meningkat berbanding euro kepada 4.4859/4919 daripada 4.5041/5082 sebelum ini. - Bernama