Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini apabila nilai dolar AS mengukuh berikutan kebimbangan berlakunya kelembapan ekonomi, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai menjadi 4.4920/4970 berbanding dolar AS daripada kadar penutup hari Jumaat 4.4765/4835.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS meningkat berbanding mata wang utama lain kerana kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi semakin meningkat, walaupun kadar inflasi global telah menyederhana manakala Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) kemungkinan menghentikan seketika kenaikan kadar faedah.

"Mesyuarat berkenaan tahap siling hutang AS yang sepatutnya diadakan minggu ini juga akan dipantau dengan teliti untuk melihat sama ada had hutang akan dimansuhkan pada bulan Jun.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata, titik data turut menunjukkan pertumbuhan yang menyederhana dan trend disinflasi.

"Jadi, kini tiba masanya untuk melihat kesan terhadap makroekonomi memandangkan transmisi dasar monetari akan mengambil sedikit masa untuk memberi kesan yang bermakna.

"Oleh itu, pasaran pertukaran asing akan terus terkawal, sekali gus menyokong dolar AS,” katanya sambil menambah ringgit dijangka kekal lemah dengan paras rintangan seterusnya pada RM4.5491.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.8752/8806 daripada 4.8839/8915 pada penutupan hari Jumaat, naik berbanding yen Jepun kepada 3.3061/3103 daripada 3.3233/3290 dan meningkat berbanding pound Britain pada 5.5930/5992 daripada 5.6082/6169 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan didagangkan lebih rendah berbanding mata wang Asean.

Nilai ringgit lemah berbanding baht Thailand kepada 13.3029/3260 daripada 13.1658/1922 pada penutup Jumaat dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 304.4/305.0 daripada 303.4/304.1 minggu lepas.

Ringgit turut merosot nilai menjadi 3.3562/3605 berbanding dolar Singapura daripada 3.3552/3609 pada Jumaat lepas dan menyusut berbanding peso Filipina pada 8.04/8.06 daripada 8.02/8.04 sebelum ini. - Bernama