Lapan lagi kes baharu positif jangkitan Covid-19 dicatat di Singapura

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan lapan lagi kes baharu yang positif jangkitan koronavirus (Covid-19) di republik itu dan kesemuanya mempunyai kaitan dengan kes-kes terdahulu.

Kes-kes positif baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Singapura setakat ini ialah 58.

Dalam kemas kini hariannya, MOH berkata, dua kes baharu itu membabitkan rakyat Bangladesh dan mempunyai kaitan dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights manakala lima lagi dikaitkan dengan gereja Grace Assembly of God.

Satu kes baharu membabitkan ahli keluarga kes ke-50 yang bertugas di DBS Asia Central di Pusat Kewangan Marina Bay.

Kesemua kes baharu itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini dan ditempatkan di dalam bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Mengemas kini kes-kes yang disahkan, MOH berkata, setakat ini, sejumlah 15 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Daripada sejumlah 43 kes yang telah disahkan dan masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala tujuh dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Setakat 12 tengah hari, MOH berkata, 711 daripada kes yang disyaki telah diuji negatif bagi Covid-19 manakala 82 lagi masih menunggu keputusan ujian.

Artikel Berkaitan:

Kementerian itu berkata, pihaknya telah mengenal pasti sejumlah 1,278 kontak rapat dan 1,144 daripadanya berjaya dihubungi dan dikuarantin atau diasingkan manakala usaha masih diteruskan untuk menghubungi bakinya. - Bernama