Penduduk mohon jambatan dibaiki segera

Keadaan jambatan utama yang runtuh akibat dibadai banjir. Gambar kecil: Shariff (kiri), Razoh
Keadaan jambatan utama yang runtuh akibat dibadai banjir. Gambar kecil: Shariff (kiri), Razoh
A
A
A

KUALA PILAH - Jambatan alternatif ada, tetapi dibimbangi turut berisiko runtuh jika hujan berterusan.

Itu antara luahan penduduk Kampung Orang Asli Langkap Dangi di sini selepas jambatan utama kampung itu runtuh akibat dibadai arus banjir dalam kejadian Jumaat lepas.

Tok batinnya, Shariff Puchok berkata, kejadian berkenaan disedari penduduk lebih kurang jam 6 pagi selain menyebabkan sembilan rumah dinaiki air lebih satu meter.

Shariff (tengah) bersama penduduk ketika meninjau keadaan jambatan berkenaan.
Shariff (tengah) bersama penduduk ketika meninjau keadaan jambatan berkenaan.

"Syukurlah ia tidak melibatkan kemalangan jiwa. Mujur juga ada jambatan alternatif bersebelahan jambatan utama, maka penduduk menggunakannya sementara jambatan berkenaan dibaik pulih.

"Sebelum ini kami memang menggunakan jambatan alternatif itu tetapi kerajaan bina jambatan baharu sebab jambatan alternatif itu dibina atas tanah persendirian.

"Terima kasih kepada pemilik tanah kerana membuka laluan tersebut bagi memudahkan penduduk keluar dan masuk," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Penduduk, Razoh Bong Au Lang, 41 pula berharap jambatan yang runtuh itu akan segera dibaik pulih kerana bimbang jambatan alternatif berkenaan mengalami nasib yang sama sebab kedudukannya rendah dan sering dinaiki air jika hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

Walaupun ada jambatan alternatif tetapi dibimbangi turut berisiko runtuh jika hujan berterusan.
Walaupun ada jambatan alternatif tetapi dibimbangi turut berisiko runtuh jika hujan berterusan.

"Cuaca sekarang juga tidak menentu tambahan hujung tahun memang musim hujan. Anak-anak hendak ke sekolah terjejas termasuklah urusan lain," katanya.

Sinar Harian difahamkan, kampung itu mempunyai 26 buah rumah membabitkan lebih 100 penduduk yang mana kejadian jambatan runtuh ini adalah pertama kali berlaku sejak ia dibina lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jempol, Amino Agos Suyub berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara tersebut dan ia dalam tindakan pihak bertanggungjawab selain telah ke lokasi untuk meninjau keadaan kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!