Saya terkejut Rosmah tunjuk minat pada projek solar hibrid: Madinah

Rosmah Mansor - Foto: Bernama
Rosmah Mansor - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM),Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau agak terkejut dengan reaksi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menunjukkan minatnya terhadap projek hibrid solar.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata, insiden luar biasa itu berlaku sekitar tahun 2016 selepas tamatnya Program Permata Negara (Permata) yang diadakan di Putrajaya.

Pada ketika itu, Rosmah yang berada dalam kereta secara tiba-tiba memanggilnya untuk datang menghampiri kereta dan membuka tingkap.

Madinah berkata, Rosmah kemudian memberitahunya untuk "meneliti projek solar Jepak" dan untuk "mempercepatkannya".

Menurut Madinah, beliau hanya menjawab Insya-ALLAH Datin Seri dan selepas itu beredar.

Beliau tidak ingat dengan jelas majlis yang dihadirinya ketika kejadian itu berlaku tetapi yakin ia berlaku sebelum bulan Jun 2016.

Madinah berkata, selepas Rosmah beredar beliau bertanya kenapa Datin Seri minat dengan projek itu dan apa kaitannya? Lagipun Rosmah tidak pernah membuat permintaan sebegitu dalam projek kerajaan sebelum ini.

Namun menurutnya, projek solar hibrid merupakan satu-satunya projek kerajaan yang mana Rosmah menunjukkan minatnya dan kepentingan dan meminta Madinah "tengok" dan "cepatkan sikit" permohonan itu.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya faham daripada permintaannya itu beliau memerlukan bantuan saya sebagai KSU Kementerian Pendidikan ketika itu dan perolehan projek itu kemudiannya akan dianugerahkan kepada Jepak.

"Maka permintaan itu mewujudkan "sense of urgency" dalam diri saya bahawa projek solar hibrid ini perlu diberi perhatian dan saya perlu segera jayakannya," katanya.

Menurut Madinah, tidak cukup dengan permintaan Rosmah, pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor juga bertanya soalan yang sama berkenaan status projek itu.

"Saya kerap melihat kehadiran Rizal dalam majlis rasmi dihadiri Rosmah dan Rizal juga telah minta saya "tengokkan" projek solar Jepak dan saya sekadar jawab "Ok..ok" sahaja," katanya.

Madinah berkata kepada mahkamah, Rizal dan seorang lagi yang dikenali sebagai Rayyan kerap menghubunginya selepas itu melalui panggilan telefon atau WhatsApp sehinggalah tarikh beliau bersara dari jawatannya pada 2 September 2016.

"Saya juga turut didesak mengangkat permohonan kelulusan rundingan dan terus bawa projek itu ke Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

"Sungguhpun saya telah memberi jaminan bahawa projek itu akan diproses mengikut peraturan tapi Rayyan seperti "tidak faham bahasa" namun saya sentiasa balas mesej WhatsApp Rayyan yang kerap hantar mesej sehingga beberapa kali sehari kepada saya," katanya.

Katanya, beliau tidak ingin Rayyan buat laporan pada Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah yang beliau sengaja lambatkan proses kerja dalam permohonan projek itu.

Dalam keterangannya lagi, Madinah berkata, beliau juga perlu mematuhi tatacara perolehan terpakai kepada urusan perolehan projek solar hibrid itu.

Namun beliau percaya Rayyan mendapat sokongan Najib dan Rosmah untuk projek itu memandangkan Rayyan bekerjasama dengan Rizal.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung Isnin depan.