Kes positif Covid-19 di Sarawak berita palsu

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Sarawak menafikan kononnya terdapat kes disahkan positif koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Pengarahnya, Dr Chin Zin Hing menegaskan mesej yang tular di media sosial itu adalah tidak benar.

“Setakat jam 12 tengah hari semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menerima pelaporan sebanyak 76 kes PUI (pesakit dalam siasatan) untuk Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, tiada kes positif yang dilaporkan, 59 kes telah disahkan negatif melalui ujian makmal, manakala 17 kes lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai untuk sentiasa merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan bagi mengetahui situasi semasa Covid-19 di Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya.

Katanya, penyebar berita palsu berhadapan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. - Bernama

Artikel Berkaitan: