Tiga nelayan hilang ditemui selamat

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga nelayan yang dilaporkan hilang malam kelmarin selepas bot mereka mengalami kerosakan di bahagian enjin telah ditemui selamat petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, mereka yang menaiki bot nelayan kelas A itu ditemui selamat di kawasan perairan Kedah oleh bapa salah seorang mangsa kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa dihentikan sebaik dimaklumkan mengenai penemuan tiga nelayan berkenaan dan bot mereka telah ditunda ke jeti nelayan Tanjung Dawai.

“Bapa salah seorang mangsa bersama kumpulan nelayan lain dari Tanjung Dawai turut menyertai operasi mencari dan menyelamat ketiga-tiga nelayan berkenaan sejak malam semalam.

“Ketiga-tiga mereka ditemui selamat bagaimanapun keletihan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga nelayan dikhuatiri hilang

Tiga nelayan terbabit yang keluar menangkap ikan dengan menaiki sebuah bot dilaporkan hilang sejak malam kelmarin di kedudukan 8.0 batu nautika utara Muka Head di sini.

Mereka ialah Muhamad Asmandi Awang, 32, Mohamad Shapie Ismail, 54, dan seorang warga Thailand, Ma-Useng Mama, 40, yang berpangkalan di Tanjung Dawai.

Ketiga-tiga mereka dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mengalami kerosakan enjin.

Artikel Berkaitan:

Selain APMM, operasi mencari dan menyelamat mangsa turut disertai Pasukan Polis Marin dan lima bot sukarelawan yang terdiri daripada nelayan dari Tanjung Dawai.