Indonesia enggan bawa pulang militan

Indonesia tidak akan membawa pulang militan Daesh di luar negara demi keselamatan jutaan rakyatnya. - Foto Agensi
Indonesia tidak akan membawa pulang militan Daesh di luar negara demi keselamatan jutaan rakyatnya. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Pemerintah Indonesia memutuskan untuk tidak membawa pulang anggota kumpulan militan Daesh yang kini berada di luar negara kerana lebih mengutamakan keselamatan jutaan rakyat di negara itu.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Penyelarasan Perundangan, Politik dan Hal Ehwal Keselamatan, Mahfud MD bertemu beberapa pihak berkuasa lain yang berkaitan termasuk Agensi Antikeganasan Kebangsaan (BNPT), Kementerian Hal Ehwal Agama dan Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia sebelum mengemukakan pilihan kepada Presiden Joko Widodo atau Jokowi dalam mesyuarat Kabinet pada hari sama.

"Pemerintah perlu memastikan seramai 267 juta penduduk di Indonesia selamat daripada sebarang ancaman keganasan. Jika militan itu kembali, mereka boleh menjadi 'virus militan' yang mengancam jutaan orang.

"Pemerintah juga tidak mempunyai rancangan untuk membawa mereka pulang ke tanah air," katanya seperti dilaporkan Jakarta Post.

Berdasarkan data daripada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, sejumlah 689 rakyat Indonesia telah dikenal pasti sebagai penyokong Daesh di Syria, Turki dan beberapa negara lain.

Sebanyak 228 orang masih menggunakan kerakyatan Indonesia manakala yang selebihnya tidak memiliki dokumen tepat untuk membuktikan kewarganegaraan mereka.

Mahfud berkata, kerajaan akan mengumpul data mengenai bilangan dan identiti rakyatnya yang didakwa menyertai Daesh dan kanak-kanak mungkin dibawa pulang bergantung kepada keadaan mereka.

"Kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun akan dipertimbangkan secara kes demi kes. Sebagai contoh, jika mereka mempunyai ibu bapa atau tidak," katanya. - Agensi

Artikel Berkaitan: