X

Kindly register in order to view this article
!

Polis rekod keterangan Najib, Rosmah minggu depan

A
A

KUALA LUMPUR - Polis dijangka akan merekodkan keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada minggu depan berhubung siasatan pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari.

"Buat masa ini, kita bagi laluan dulu mereka (Najib dan Rosmah) dengan prosiding kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah.

"Saya jangkakan paling awal adalah minggu depan untuk merekod keterangan mereka di Bukit Aman," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Isnin lalu, polis telah merekod keterangan seramai 12 saksi yang dikenal pasti dalam rakaman audio itu mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Januari lalu, SPRM membongkar audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk Najib.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.