Pemandu rempuh 4 motosikal direman empat hari

A
A
A

GEORGETOWN - Pemandu kereta yang menyebabkan kematian dua penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Thean Teik, Air Itam malam semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 20 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

Menurutnya, ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati lelaki tersebut bebas daripada pengaruh alkohol malah ujian saringan air kencing yang dilakukan juga mendapati dia bebas daripada dadah.

"Dalam kejadian berlaku pada jam 7.30 malam semalam, lelaki berkenaan yang memandu kereta dari arah Wisma Yatim Lelaki terlanggar dengan sebuah motosikal sebelum dia terbabas dan masuk jalan bertentangan serta merempuh lagi tiga penunggang motosikal.

"Akibat kejadian itu, dua penunggang dilaporkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dikenali sebagai Zainuddin Ahmad, 58, dan Song Lin Na, 41, manakala penunggang motosikal yang cedera, Muhammad Fais Abdul Rashid, 21.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga pagi semalam.

Katanya, mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama dan pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN Kereta rempuh empat motosikal, dua penunggang maut

Artikel Berkaitan: