Sembilan penunggang motosikal buat bising kena tahan
TANJONG KARANG - Polis menahan sembilan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dekat sini pada Isnin.
Semua lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu diberkas dalam Operasi Cegah Samseng Jalanan kira-kira jam 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan orang awam mengenai bunyi bising dan kacau ganggu di kawasan terbabit.
"Pemeriksaan mendapati semua lelaki itu melakukan kesalahan antaranya tiada lesen memandu, menunggang di bawah usia 16 tahun, tiada cukai jalan dan insurans.
"Kesalahan lain yang turut dikesan antaranya melibatkan nombor pendaftaran kenderaan, pengubahsuaian ekzos dan aksesori tidak lengkap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis mengeluarkan sebanyak sembilan saman kepada individu terbabit yang kebanyakannya dari Klang dan sanggup datang semata-mata untuk membuat bising dengan motosikal masing-masing.
Justeru, Ramli menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan jalan raya dan menghormati masyarakat setempat.
"Ibu bapa atau penjaga diminta memantau pergerakan anak supaya tidak terlibat aktiviti motosikal yang menyalahi undang-undang dan jenayah terutama ketika musim perayaan Aidilfitri ini," jelasnya